Bila kita sembang tentang hobi, antara aktiviti popular mesti membaca! Tapi berapa ramai antara kita yang betul-betul amalkan aktiviti membaca ni? Mungkin ada yang cakap membaca ni boring, tapi jangan salah sangka, sebenarnya membaca buku ni ada banyak sangat manfaat yang boleh bantu kita menambah pengetahuan.
Kenapa Membaca Buku Penting?
1. Menambah Ilmu Pengetahuan
Salah satu perkara terbaik tentang membaca adalah kita boleh menambah ilmu pengetahuan kita dengan cara yang menarik dan seronok. Buku adalah portal ke dunia yang penuh dengan fakta menarik, cerita-cerita hebat, dan maklumat berguna. Membaca ni tak semestinya perlu baca buku yang tebal ataupun surat khabar je. Kita boleh pilih sendiri material untuk dibaca mengikut minat kita! Contohnya buku-buku tentang haiwan, sejarah, sains, dan buku macam komik atau novel pun! Lagi banyak kita membaca, lagi banyak ilmu yang kita peroleh.
2. Menambah Baik Pemahaman Bahasa dan Vokabulari Kita
Seterusnya, semua orang tahu aktiviti membaca ini boleh membantu pemahaman kita dalam sesuatu bahasa. Dengan membaca, kita akan lebih terdedah dengan pelbagai jenis ayat dan perkataan semasa membaca, tak kiralah kita baca buku bahasa melayu, bahasa inggeris, atau bahasa mandarin sekali pun. Bila kita mempunyai pemahaman yang tinggi dalam bahasa, secara automatik ia akan bantu kita dalam kemahiran percakapan dan pendengaran dengan lebih lancar dan jelas.
3. Melatih Cara Kita Berfikir
Selain itu, membaca ni bukan sekadar aktiviti yang pasif sahaja tau. Ia merangsang minda kita supaya berfikir lebih kritikal dan kreatif. Lebih-lebih lagi apabila kita membaca material sastera klasik atau penulisan tradisional, ia akan mengasah kemahiran kita untuk menganalisis plot, watak-watak, dan masalah yang dihadapi dalam jalan cerita tersebut. Kita juga boleh membayangkan dunia dalam cerita itu dan mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi watak-watak. Semua ini membantu melatih minda kita supaya lebih cerdas dan kreatif.
4. Menjadi Sumber Inspirasi dan Motivasi
Buku ni ada pelbagai jenis, dan dengan kepelbagaian ni juga membuatkan ia menjadi sumber inspirasi dan motivasi pilihan ramai. Apa yang kita baca boleh mempengaruhi cara kita melihat dunia disekeliling kita. Contohnya, cerita-cerita tentang kejayaan orang lain boleh memberi kita semangat untuk mencapai matlamat kita sendiri. Walhal, cerita fiksyen juga boleh beri kita ilham untuk menanam cita-cita dalam hidup. Aktiviti membaca ini boleh memberi kita pandangan baru tentang dunia, budaya, dan cara orang lain berfikir. Ini boleh membuka minda kita kepada peluang yang lebih luas.
5. Lebih Peka tentang Isu Semasa
Akhir sekali, membaca ini juga membantu kita untuk lebih tahu tentang isu semasa. Genre buku juga berkembang dari semasa ke semasa. Kita boleh membaca tentang berita, artikel, atau buku yang menceritakan tentang perkara-perkara yang berlaku di seluruh dunia. Dengan pengetahuan ini, kita boleh berbincang tentang isu-isu penting dengan lebih bijak dan lebih matang. Ini adalah cara yang terbaik untuk menjadi seorang yang teliti dan berfikiran kritikal.
Log masuk atau daftar di www.pandai.org
Muat turun Pandai di Google Play or App Store.
Follow Pandai di sosial media untuk info lebih lanjut!
Facebook: @pandaiofficial
Instagram:@pandaiofficial
Twitter: @pandaiofficial
TikTok: @pandaiofficial
; @youngpandai
; @youngpandaijr
Blog: blog.pandai.org
#SenangJeNakPandai