Site icon Pandai Blog

Cara Handle Stress Sebelum SPM: 7 Tips Yang Membantu

Stress belajar ialah tekanan mental dan emosi yang dialami pelajar bila berhadapan dengan tuntutan akademik — silibus yang padat, tarikh peperiksaan yang makin hampir, dan harapan untuk dapat keputusan yang baik. Ia satu perkara biasa, terutama menjelang peperiksaan besar seperti SPM, dan kalau tak diuruskan, ia boleh menjejaskan tumpuan, tidur, dan selera makan.

Dekat-dekat SPM, memang normal kalau perasaan jadi bercampur-baur. Satu hari rasa bersemangat nak habiskan silibus, esok tiba rasa nak give up sebab silibus nampak macam tak habis-habis. Kalau awak tengah rasa macam tu sekarang, relax, awak tak keseorangan.

Malah, satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of International and Comparative Education mendapati hampir 20% pelajar menengah atas di Malaysia mengalami tahap test anxiety yang tinggi, dengan pelajar perempuan cenderung lebih terkesan berbanding lelaki. Jadi kalau awak rasa tekanan tu betul-betul ada, memang ada — dan ia boleh diuruskan.

Macam yang kami dah janji dalam artikel Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2026 hari tu ini sambungannya. 7 cara realistik untuk handle stress sebelum SPM, bukan nasihat generik yang suruh awak study 12 jam sehari tanpa rehat. 

Semuanya boleh start pada hari ini.

Kenapa Kita Rasa Stress Sebelum SPM?

Sebelum masuk ke tips, penting untuk faham punca dulu. Bila kita tahu apa yang sebenarnya buat kita risau, barulah kita boleh pilih cara yang betul untuk hadapi bukan sekadar cuba lupakan perasaan tu.

Antara punca biasa termasuk silibus yang nampak terlalu banyak, harapan tinggi dari keluarga, tabiat membanding diri dengan kawan, dan pengalaman peperiksaan lepas yang kurang memberangsangkan. Bila semua ni bertindih, otak kita jadi “overload” dan mula rasa cemas.

Tapi ingat! Stress yang sikit tu sebenarnya normal, malah kadang-kadang membantu. Seperti yang dikongsikan oleh Wits University, “some exam stress is inevitable, and even healthy in that it gets you working.”

Maksudnya, stress yang terkawal boleh jadi pendorong. Yang perlu diuruskan adalah bila ia mula ganggu tidur, selera makan, dan fokus awak.

7 Cara Handle Stress Sebelum SPM

1. Buat Jadual Study Yang Realistik

Salah satu punca stress paling besar adalah bila kita rasa “tak cukup masa”. Cara paling mudah untuk lawan perasaan tu? Pecahkan silibus kepada bahagian kecil-kecil. Daripada tulis “habiskan Matematik”, tukar kepada target yang lebih spesifik macam “buat 10 soalan Bab 3 hari ni”.

Jadual yang realistik ambil kira waktu makan, rehat, dan tidur — bukan sekadar 12 jam study berturut-turut yang akhirnya buat awak burnout. Kalau awak nak panduan lengkap, kami dah kongsikan cara susun jadual dalam artikel Jadual Study SPM 3 Bulan Terakhir.

2. Guna Teknik Pomodoro Untuk Elak Burnout

Study lama-lama tanpa rehat bukan tanda rajin — ia sebenarnya buat otak penat lebih cepat. Cuba teknik Pomodoro: study fokus 25 minit, rehat 5 minit, ulang empat kali, kemudian rehat panjang 15 minit.

Rehat berjadual macam ni terbukti bantu fokus. Malah, satu kajian mendapati pelajar yang ambil rehat secara berkala berjaya mengingati 20% lebih banyak berbanding yang study tanpa henti. Jadi jangan rasa bersalah bila rehat — ia sebahagian daripada proses.

3. Jaga Tidur, Jangan Korbankan

Tidur selalu jadi benda pertama yang pelajar korbankan masa musim exam. Padahal, tidur yang cukup adalah masa otak “simpan” segala yang kita belajar ke dalam memori jangka panjang. Berjaga sampai pagi untuk cramming selalunya lebih banyak rugi daripada untung.

Cuba amalkan sleep hygiene yang mudah — kurangkan skrin sebelum tidur, dan pastikan awak tidur cukup terutama malam sebelum hari peperiksaan supaya minda segar dan fokus.

4. Cuba Teknik Pernafasan Bila Rasa Cemas

Bila rasa cemas melanda — jantung berdegup laju, tangan sejuk — teknik pernafasan boleh bantu awak tenang dalam beberapa minit. Tarik nafas dalam-dalam melalui hidung, tahan sekejap, dan hembus perlahan melalui mulut. Ulang beberapa kali.

Cara mudah ni (diaphragmatic breathing) membantu badan dan minda kembali tenang, dan awak boleh guna bila-bila masa — masa study, sebelum masuk dewan, atau bila rasa panik tengah jawab kertas.

5. Berhenti Membanding Diri Dengan Orang Lain

“Dia dah habis ulang kaji tiga subjek, saya baru satu.” Bunyi familiar? Membanding progress dengan kawan adalah salah satu punca stress yang paling senyap tapi paling kuat. Setiap orang ada pace masing-masing.

Fokus pada apa yang awak boleh kawal — usaha awak sendiri, hari ni. Keyakinan tumbuh bila kita fokus pada tindakan yang terkawal, bukan pada pencapaian orang lain yang kita tak boleh kawal.

6. Bercakap Dengan Seseorang

Kadang-kadang, cara paling ringkas untuk lepaskan beban adalah dengan meluahkannya. Cerita pada kawan, abang, kakak, ibu bapa, atau cikgu kaunseling. Awak tak perlu tanggung semua seorang diri.

Dan penting untuk ingat — keputusan SPM bukan penentu mutlak nilai diri awak. Seperti yang pernah ditulis dalam satu rencana di Malay Mail, ramai orang dewasa lupa betapa tekanan akademik boleh menjejaskan kesihatan mental pelajar. Jadi kalau awak rasa terlalu tertekan, minta bantuan bukan tanda lemah — ia tanda awak matang.

7. Belajar Guna Cara Yang Buat Awak Rasa “Ready”

Salah satu penawar terbaik untuk cemas adalah rasa bersedia. Bila awak tahu awak dah cover topik-topik penting dan dah cukup latih tubi, secara automatik perasaan risau akan berkurang.

Cara belajar aktif macam buat kuiz, flashcard, dan latihan soalan terbukti lebih berkesan daripada sekadar baca nota berulang kali. Di sinilah aplikasi macam Pandai boleh membantu — dengan koleksi latihan soalan mengikut format SPM dan kuiz interaktif, awak boleh uji kefahaman sendiri dan kenal pasti topik mana yang perlu diberi lebih perhatian. Bila persediaan lebih mantap, hati pun lebih tenang.

Awak Lebih Kuat Dari Yang Awak Sangka

Stress sebelum SPM tu normal, dan awak tak perlu hapuskan ia sepenuhnya: cukup sekadar belajar menguruskan dengan bijak. Mulakan dengan satu atau dua tips di atas, dan tambah sikit demi sikit. Yang penting, jaga diri awak sepanjang perjalanan ni, bukan hanya mengejar markah.

Tarik nafas. Awak dah sampai sejauh ni. Sikit je lagi dan awak pasti boleh. 💪

Jom guna Pandai App untuk buat persediaan SPM yang lebih tersusun dan tenang — belajar ikut cara sendiri, bila-bila masa dan di mana sahaja.

Senang je nak apa? Senang je nak Pandai.
Exit mobile version