Site icon Pandai Blog

Cara mudah kuasai Bahasa Inggeris

Bahasa Inggeris adalah bahasa ketiga paling popular dengan sejumlah 1.35 bilion penutur di seluruh dunia. Menariknya, kebanyakan mereka ini bukan dalam kalangan penutur asli bahasa itu. Di Malaysia khasnya, Bahasa Inggeris juga diberikan status sebagai bahasa rasmi kedua dengan hampir kesemua penduduk menggunakannya di dalam urusan seharian secara langsung mahupun tidak langsung. Hal ini kerana hampir keseluruhan aspek kehidupan masa kini memerlukan tahap penguasaan Bahasa Inggeris yang baik.

Dari sekecil-kecil urusan seperti jual-beli di pasar raya mewah sehingga urusan akademik dan profesional yang membabitkan warga antarabangsa, kepentingan bertutur dalam bahasa itu tidak dapat disangkal lagi. Namun, meskipun capaian kepada pembelajaran Bahasa Inggeris sudah meluas dan ia dapat dipelajari dengan mudah, masih terdapat segelintir daripada kita yang berasa ragu-ragu akan keupayaan untuk mempelajari bahasa ini. Sebenarnya, kefasihan di dalam Bahasa Inggeris ini tidak mustahil untuk dicapai asalkan kita mendapat pendedahan serta latihan secukupnya.

Bagaimana menguasai Bahasa Inggeris?

1. Bacalah 👨‍💻

Antara langkah mudah yang boleh dilakukan adalah dengan membaca. Mungkin ini kedengaran klise, namun pupuklah minat membaca terutamanya dalam bahasa sasaran yang ingin kita dipelajari. Sastera klasik, surat khabar, laman web, e-mel, suapan media sosial anda atau kotak bijirin, jika ia ditulis dalam Bahasa Inggeris, bacalah. Kenapa? Hal ini kerana umumnya semua itu dipenuhi kosa kata baharu yang menarik dan mungkin tidak pernah kita temui. Ia juga dapat meluaskan bilangan kosa kata yang sudah diketahui. Selain itu kita juga akan memperoleh pendedahan secara semula jadi mengenai bagaimana kosa kata ini digunakan di dalam konteks yang betul, sebelum ia boleh kita gunakan dalam perbualan sehari-hari. Ia juga dapat membantu kita untuk lebih mengingati kosa kata ini untuk jangka masa yang panjang.

2. Perhati dan pantau kosa kata baharu 📚

Seterusnya, kita juga boleh memerhatikan atau memantau kosa kata baharu ini secara aktif. Ketika mempelajari sesuatu bahasa, kita sentiasa menikmati keindahan bahasa itu terutamanya dengan penemuan kosa kata yang baharu sehingga ia mustahil untuk dilupakan. Bagaimanapun, tidak semua kosa kata ini mampu untuk diingati sekali gus. Justeru, kita perlulah membiasakan diri untuk membawa buku nota atau peranti ke manamana sahaja. Setiap kali kita terdengar atau terbaca satu perkataan atau ungkapan yang baharu, tuliskan catatan mengenai maksud ungkapan itu di dalam buku nota. Kaedah ini juga dapat menjimatkan masa kerana kita tidak perlu lagi tercari-cari makna sesuatu ungkapan itu jika menemuinya lagi pada masa depan.

3. Layari rancangan audio siar maya 🎧

Selain membaca, kita juga boleh mendengar audio siar atau ‘podcast’ dan saluran Youtube yang berbahasa Inggeris. Lawak jenaka, politik, tips memasak, gaya hidup, dan keagamaan adalah antara topik sohor kini yang ditawarkan menerusi medium ini. Langganlah seberapa banyak saluran yang kita mahu dan dengarkanlah pada setiap kesempatan yang ada. Mungkin pada awalnya kita merasakan loghat penutur asli Bahasa Inggeris ini sukar untuk diikuti. Namun seiring waktu dan istiqamah yang tinggi, kita akan mula memahami apa yang kita didengari, seterusnya mempelajari banyak ungkapan baharu daripada medium ini.

4. Cari kawan baharu dalam kalangan penutur asal 👭👬 

Seterusnya, kita juga boleh berkomunikasi dengan penutur asli di dalam Bahasa Inggeris. Apalah gunanya mempelajari sesuatu bahasa seandainya tidak digunakan untuk berkomunikasi sesama kita? Memang kita boleh menyatakan hasrat dan keinginan tanpa perlu bersuara sedikitpun, terima kasih kepada aplikasi mesej sosial seperti Whatsapp dan Telegram, tetapi di dalam keadaan yang mendesak, kebolehan bertutur dalam sebarang bahasa dapat membantu kita untuk lebih mengingati ungkapan yang dituturkan. Malah salah satu cara mengatasi halangan berkomunikasi dalam bahasa ini adalah dengan berkomunikasi.

5. Ikuti perkembangan selebriti penutur asal 🤳🕴

Jika meminati kehidupan selebriti terutamanya selebriti antarabangsa, kita juga boleh

menjadikan mereka sebagai idola atau panduan dalam mempelajari Bahasa Inggeris. Layarilah pautan yang mengandungi maklumat berkenaan mereka di dalam Bahasa Inggeris. Tontonlah sesi temubual mereka dan pelajarilah lenggok pertuturan. Catatkan ungkapan menarik yang digunakan. Slanga, anekdot, dan humor yang sering kali menjadi perencah utama di dalam sesi seperti ini pasti dapat mendedahkan kita dengan Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh penutur asli. Lebih menarik lagi, ungkapan atau kosa kata ini boleh pula kita aplikasikan.

6. Tanamkan keyakinan diri 🙋 🙋‍♂️

Akhir sekali, raikanlah keupayaan diri untuk menguasai Bahasa Inggeris ini walau sekecil apa pun kejayaan itu. Kita semua mampu untuk berbahasa Inggeris, dan tidak perlulah untuk membandingkan tahap penguasaan kita dengan orang lain. Hal ini hanya akan mengaburi keupayaan dan pencapaian sebenar kita.

Tanamkanlah di dalam diri kita setiap hari bahawa “saya boleh berjaya dan mampu menguasai Bahasa Inggeris.” Keazaman dan keyakinan harus dibina untuk terus menggunakan bahasa ini. Tidak perlulah untuk kita terlalu terkesan dengan stigma mereka yang beranggapan bahawa kebolehan seseorang itu berkomunikasi adalah dinilai daripada kesempurnaan berbahasa semata-mata. Kesempurnaan adalah relatif, dan semestinya lebih afdal untuk kita saling menyempurnakan di antara satu sama lain. Apa yang lebih penting lagi, tetaplah berusaha dan mencuba dengan lebih baik lagi, kerana tidak ada hasil yang akan mengkhianati usaha kita.

*Sebagai rujukan artikel asal diboleh lihat di laman web berita harian.

Exit mobile version