Site icon Pandai Blog

Sambung Belajar atau Bekerja Selepas SPM, Mana Satu Lebih Baik?

Kerja atau sambung belajar, mana satu yang lebih baik? Ramai yang keliru sama ada hendak sambung belajar atau terus bekerja selepas tamat SPM ataupun Diploma. Sesetengah orang berpendapat lebih baik sambung belajar alasannya masih muda dan mudah menghadam apa yang diajarkan di dalam kuliah. Tamat pengajian tangga gaji lebih baik berbanding jika hanya ada SPM sahaja.

Walau bagaimanapun, ada segolongan pula beranggapan lebih baik bekerja dulu dan ambil peluang untuk melatih diri dalam suasana bekerja. Apabila ada rezeki lebih nanti barulah teruskan niat untuk sambung belajar. Anda pula bagaimana? Lebih suka belajar atau bekerja dahulu? Apa pun pilihan anda, mungkin artikel ini sedikit sebanyak boleh membantu anda membuat pilihan yang tepat.  Diakhir perkongsian ini, fikirkanlah sendiri baik dan buruknya.

 KERJA ADALAH LEBIH BAIK

Menimba Pengalaman Sebenar

Ramai di antara pelajar yang beranggapan bahawa apabila mereka menamatkan belajar tidak kira walaupun hanya di peringkat SPM atau diploma, terus bekerja merupakan langkah yang terbaik. Mereka yakin bahawa dengan bekerja mereka mampu menimba pelbagai ilmu yang berguna bukan sahaja terhad hanya di dalam kelas sahaja. Bagi mereka pembelajaran di dalam kelas dan di dunia sebenar itu sangat berbeza.

Dengan bekerja juga, mereka percaya bahawa mereka mampu memperoleh banyak pengalaman yang akan membantu diri sendiri dalam  mendapatkan kerjaya yang lebih cerah pada masa hadapan. Golongan ini juga amat yakin bahawa pada hari ini majikan lebih melihat kepada pengalaman kerja berbanding kelulusan semata-mata.

Mengumpul Pendapatan

Antara salah satu sebab mengapa segelintir daripada mereka gemar untuk terus bekerja daripada menyambung pengajian adalah ingin merasa gaji lebih awal berbanding rakan lain yang meneruskan pengajian ke kolej atau universiti. Boleh kumpul wang lebih awal untuk persiapan hari tua, beli rumah, kereta dan sebagainya.

Tambahan pula, pada hari ini gaji seorang yang hanya memegang kelayakan sijil diploma boleh mencecah atau melebihi RM2500 berbekalkan pengalaman yang ada. Siapa yang tidak mahu memilih untuk bekerja berbanding belajar?

Dapat Mengasah Kebolehan

Ini juga adalah faktor utama mengapa pelajar lebih berminat untuk terus bekerja berbanding untuk menyambung belajar. Mereka dapat mengasah bakat terpendam tanpa perlu ke kelas atau mengambil peperiksaan di universiti. Mereka dapat terus menjalani latihan praktikal dan mengasah bakat dalam bidang yang minati.

Walau bagaimanapun, niat sambung belajar itu ada cumanya belum masa yang sesuai atau belum timbul lagi kesedaran untuk melanjutkan pengajian. Mungkin apabila ianya diperlukan kelak boleh sambung sebagai pelajar separuh masa PJJ.

SAMBUNG BELAJAR ADALAH LEBIH BAIK

Peluang Pekerjaan yang bagus

Bagi sesetengah pelajar mendapatkan kelulusan yang tinggi adalah perkara yang penting dan serius dalam mendapatkan kerjaya yang menjamin masa hadapan. Semakin tinggi kelulusan yang diperoleh semakin mudah mereka mendapatkan peluang-peluang pekerjaan yang bagus dengan tangga gaji yang lumayan. Tetapi, mereka perlu diingatkan bahawa bukan semua graduan mampu untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang baik kerana keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan atau hanya sekadar ‘lepas pagar’ tidak akan dipandang majikan.

Mudah Dinaikkan Pangkat

Dengan mempunyai kelulusan yang tinggi seperti di peringkat ijazah, master mahupun PhD, golongan yang mementingkan pelajaran ini merasakan kelayakan mereka untuk mendapatkan pangkat atau jawatan dalam sesebuah syarikat/organiasasi adalah lebih terjamin. Semakin tinggi kelayakan yang dimiliki semakin mudah untuk mereka mengejar cita-cita yang diinginkan selain kurangnya persaingan dalam mendapatkan pekerjaan tersebut.

 Gaji Yang Lebih Lumayan

Seperti mana yang anda sedia maklum, kebiasaannya apabila seseorang individu itu mempunyai kelulusan yang baik, pendapatan atau gaji yang diterima juga akan bertambah. Selalunya golongan yang mempunyai segulung ijazah ini, majikan telah meletakkan standard gaji tertentu dan jumlah gaji akan semakin meningkat seiring dengan pengalaman yang diperolehi. Tidak perlu bermula daripada bawah seperti mana kelulusan rendah. Walau pengalaman banyak, gaji hanya naik sedikit sahaja.

Jadi kesimpulanya, mana satu yang menjadi pilihan anda? KERJA atau BELAJAR? Fikir-fikirkanlah sebaiknya kerana jalan yang anda pilih itu baik atau buruknya anda yang bakal laluinya. Selamat datang ke dunia orang dewasa yang penuh dengan liku-liku kehidupan ini!

Exit mobile version