Site icon Pandai Blog

Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin!

Hi Young Pandai! Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin!

Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu perayaan penting bagi umat Islam di seluruh dunia. Ia dirayakan pada hari pertama bulan Syawal, yang merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah. Perayaan ini menandakan berakhirnya 30 hari bulan puasa umat Islam di bulan Ramadan. Hari Raya Aidilfitri, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Puasa di Malaysia, disambut dengan pelbagai tradisi dan adat. Jom kita lihat bagaimana orang di Malaysia sambut Hari raya Aidilfitri!

Tradisi Hari Raya di Malaysia

Bermaaf-maafan

Walaupun ia satu perayaan, Hari Raya Aidilfitri masih disambut dengan kesyukuran dan memohonon keampunan. Penduduk Malaysia biasanya pulang ke kampung halaman sebelum Hari Raya untuk merayakan bersama keluarga. Hari Raya Aidilfitri juga diangkat sebagai cuti umum di seluruh Malaysia. Murid sekolah dan para pekerja boleh meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tanpa perlu memikirkan tugas rasmi seperti biasa. Hari yang mulia ini bermula dengan solat sunat Aidilfitri di masjid, di mana umat Islam mengucapkan syukur atas melakukan ibadah. Keampunan uga dipinta bersama ahli kelaurga, sanak saudara, dan rakan-rakan menggalakkan keamanan dan keharmonian diantara satu sama lain.

Berbaju Raya

Pada Hari Raya Aidilfitri, umat Islam selalunya berpakaian serba baru. Bagi penduduk di Malaysia, baju yang sering digayakan pada hari ini adalah baju tradisional Malaysia sendiri! Contohnya baju kurung, kebaya, dan abaya bagi orang perempuan and baju melayu dan kurta bagi orang lelaki. Terdapat pelbagai jenis baju kurung dan baju melayu di Malaysia. Selalunya baju raya dipilioh ikut tema sekeluarga untuk nampak lebih anggun dan meriah!

Rumah Terbuka

Selain pakaian tradisional, penduduk di Malaysia juga berjamuan di hari raya dengan makanan tradisional. Hari Raya Aidilfitri akan disambut dengan rumah terbuka atau juga dikenali sebagai ‘Open House’ di mana rakan-rakan atau saudara-mara dijemput dan dihidang dengan pelbagai juadah. Jamuan raya di Malaysia selalunya terdiri dengan pelbagai makanan tradisi melayu. Contohnya seperti ketupat, lemang, rendang, lontong, sate, dodol, dan macam-macam lagi!

Duit Raya

Duit raya adalah salah satu tradisi hari raya di Malaysia yang sangat popular. Duit raya boleh dikatakan sebagai adaptasi Melayu dari sampul merah Cina atau ‘ang pow’, di mana wang dalam sampul diberi kepada tetamu mereka yang berkunjung ke rumah mereka semasa Hari Raya Aidilfitri. Walaubagaimanapun, tradisi ini tidak mempunyai apa-apa maksud dan biasanya dilakukan sebagai satu sedekah. Ada juga sesetengah orang yang lebih fokus untuk kumpul sampul duit raya yang kreatif dan meriah!

Kuih Raya

Hari Raya tidak lengkap tanpa balang-balang kuih raya tersusun rapi di atas meja! Kuih raya adalah salah satu tarikan yang popular bila berkunjung atau beraya di rumah sanak saudara. Kuih Raya terdiri daripada pelbagai jenis biskut yang bereperisa yang dibuat khas mengikut tema hari raya. Antara kuih raya yang popular di malaysia adalah tat nenas, kuih semperit, almond london (kuih badam bersalut coklat), dan kuih suji.

Lagu Raya

Penduduk Malaysia boleh dikatakan menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sangat meriah terima kasih kepada lagu raya! Selain takbir bergema menandakan ketibaan hari syawal, di Malaysia meriah dengan lagu-lagu raya sama ada lagu yang klasik hingga ke zaman moden. Lagu-lagu ini selalunya dimainkan di radio bermula pertengahan Ramadan sehinggalah habis bulan syawal. Antara lagu raya yang paling popular yang sering didendangkan adalah Suasana Hari Raya nyanyian Anuar Zain dan Ellina!

Jadi, begitulah Hari Raya Aidilfitri disambut diseluruh Malaysia! Sebelum mengakhiri artikel ini, Pandai ingin menyusun sepuluh jari dan memohon maaf dan ampun atas segala kesalahan yang mungkin telah dilakukan. Kami dari Team Pandai berharap Hari Raya Young Pandai pada tahun ini dipenuhi dengan kegirangan, keikhlasan, dan ketulusan. Kami berharap agar keikhlasan dan ketulusan hati ini dapat dikongsi bersama dan mempereratkan hubungan kita sebagai satu komuniti yang harmoni!

Semoga perayaan Hari Raya Aidilfitri ini membawa kebahagiaan dan keberkatan buat kita semua. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin!

Log in or Sign Up at www.pandai.org 
Download Pandai App now via Google Play or App Store.
Follow us on our Social Media Now for more updates!
Facebook: @pandaiofficial
Instagram:@pandaiofficial
Twitter: @pandaiofficial
TikTok: @pandaiofficial
Blog: blog.pandai.org
#AchieveTogether

Exit mobile version