Pendidikan yang berkualiti seharusnya dapat diakses oleh semua pelajar, tanpa mengira latar belakang atau kemampuan kewangan. Dengan semangat inilah, Program SKOR A SPM kembali pada tahun 2025 untuk tahun kedua penganjurannya, memberi peluang kepada lebih ramai pelajar SPM mendapatkan tajaan bimbingan akademik intensif secara.
Program ini merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut, Pandai Education, dan beberapa buah sekolah menengah di Parlimen Bukit Bendera. Penerusan program ini telah diumumkan baru-baru ini melalui perkongsian rasmi di Facebook YB Syerleena. Selepas kejayaan pelaksanaannya pada tahun 2024, SKOR A diteruskan lagi dengan penekanan yang lebih khusus terhadap subjek-subjek teras yang wajib lulus.
Perjalanan SKOR A Dari 2024 ke 2025
Program SKOR A mula dilaksanakan pada tahun 2024 dengan penyertaan seramai 150 pelajar SPM. Hasil sambutan yang positif, tahun 2025 menyaksikan seramai 110 pelajar lagi terpilih, menjadikan jumlah keseluruhan lebih 250 pelajar telah menerima manfaat daripada inisiatif ini dalam tempoh dua tahun.
Untuk edisi 2025, lima buah sekolah telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan:
- SMK St. George’s
- SMK Tunku Puan Habsah
- SMK Padang Polo
- SMK Tanjung Bungah
- SMA Tarbiah Islamiah
Melalui penglibatan sekolah-sekolah ini, program memastikan setiap peserta mendapat bimbingan yang berstruktur dan konsisten dalam tempoh persediaan menghadapi peperiksaan SPM.
Fokus Baharu: Bahasa Melayu & Sejarah
Jika pada tahun lalu SKOR A memberi penekanan kepada Matematik dan Sains, tahun 2025 membawa perubahan strategi dengan memberi tumpuan kepada dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
Kedua-dua subjek ini dipilih kerana kepentingannya yang unik:
- Bahasa Melayu bukan sahaja bahasa komunikasi utama, tetapi juga lambang identiti nasional dan asas kepada perpaduan rakyat.
- Sejarah pula membuka ruang untuk pelajar memahami akar perjuangan negara, meneladani pengorbanan tokoh terdahulu, serta menghayati nilai kebangsaan.
Lebih penting lagi, kedua-dua subjek ini merupakan subjek wajib lulus dalam peperiksaan SPM. Kegagalan menguasainya sering menjadi penghalang besar buat pelajar, khususnya bagi mereka yang tidak mampu mengikuti kelas tambahan berbayar.
Dengan SKOR A, halangan ini dapat diatasi melalui bimbingan yang berkualiti, disampaikan secara sistematik agar pelajar benar-benar bersedia menghadapi peperiksaan.
Tahun ini, Program SKOR A diperkuat dengan dua seminar fizikal yang berlangsung di SMK (P) St. George’s. Kehadiran pelajar melebihi sasaran, membuktikan sambutan positif dan kesungguhan mereka untuk memanfaatkan bimbingan tajaan ini. Seminar pertama pada 10 September 2025 menghimpunkan 104 pelajar dengan sesi onboarding dan akses Pandai Premium yang ditaja serta dikendalikan pasukan Scholarship Pandai. Selepas itu, Cikgu Irfan mengendalikan seminar Bahasa Melayu intensif selama lima jam.
Seterusnya pada 24 September 2025, seramai 111 pelajar menyertai seminar Sejarah. Program dimulakan dengan ulang kaji menggunakan aplikasi Pandai dan sesi soal jawab, sebelum diteruskan oleh Cikgu Ahmad selama empat jam. Seminar ditutup dengan majlis penghargaan oleh YB Syerleena.Kedua-dua seminar berjalan lancar, dengan pelajar memberi tumpuan penuh serta aktif bertanya soalan. Pihak Parlimen Bukit Bendera turut memuji kelancaran pengurusan oleh pasukan Scholarship Pandai, yang juga telah membincangkan strategi baharu termasuk penglibatan Pandai Teacher untuk edisi akan datang.
Mengapa Program SKOR A Penting?
Di Malaysia, jurang pendidikan masih wujud, terutama antara pelajar daripada keluarga berkemampuan dan mereka yang kurang bernasib baik. Ramai pelajar berdepan cabaran menguasai subjek kritikal kerana tidak mampu menanggung kos tuisyen atau kelas tambahan.
Program SKOR A diwujudkan untuk menutup jurang ini dengan tiga matlamat utama:
- Akses Tajaan dan Saksama – Pelajar daripada semua latar belakang mendapat peluang yang sama untuk belajar.
- Bimbingan Akademik Intensif – Tenaga pengajar berpengalaman membimbing pelajar mengikut silibus terkini.
- Pembangunan Sahsiah dan Nilai – Selain akademik, program menekankan pembinaan jati diri, disiplin, dan semangat kenegaraan.
Senang Je Nak SKOR A!
Sebagai rakan strategik, Pandai Education memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini. Pandai menyediakan sokongan teknologi dan akses kepada platform pembelajaran pintar yang telah digunakan oleh ratusan ribu pelajar di seluruh negara.
Melalui aplikasi Pandai, pelajar SKOR A berpeluang menikmati:
- Latihan Soalan Ulang Kaji yang selari dengan format peperiksaan SPM.
- Modul Interaktif untuk memperkukuh pemahaman topik penting dalam Bahasa Melayu dan Sejarah.
- Pemantauan Prestasi agar pelajar dapat menilai tahap pencapaian masing-masing dari semasa ke semasa.
- Bimbingan Tambahan yang boleh diakses di luar waktu kelas fizikal.
Dengan gabungan kaedah tradisional dan digital, pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih menyeluruh serta fleksibel.
Pandai berbangga dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan ini, dan akan terus berdiri bersama para pendidik, sekolah, dan komuniti untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik serta berjiwa besar sebagai warganegara Malaysia.