Site icon Pandai Blog

Vape Ganti Sarapan: Bahaya Senyap yang Mengintai Anak Kita

“Pagi-pagi, belum makan nasi… tapi dah sedut vape.”

Mungkin kedengaran pelik, tapi inilah realiti yang dilaporkan sedang berlaku di kalangan anak-anak terutama sekali pelajar sekolah rendah. Lebih mengejutkan, ada yang mula seawal umur lapan tahun — usia di mana mereka sepatutnya baru belajar darab, bukan membiasakan diri dengan bahan berbahaya.

Menurut laporan Sinar Harian yang memetik kenyataan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), trend vape kini bukan lagi terhad kepada pelajar sekolah menengah. Ia telah menjadi satu fenomena sosial yang semakin menular, bahkan ada pelajar menjadikan vape sebagai “sarapan alternatif” — satu tabiat yang sangat membimbangkan dari segi kesihatan fizikal dan mental.

CAP menyuarakan kebimbangan bahawa vape kini bukan lagi aktiviti tersembunyi, malah dilihat sebagai ‘normal’ dalam kalangan pelajar. Lebih menakutkan, ramai yang menghisap vape secara terbuka — tanpa rasa malu, tanpa sedar akan bahaya sebenar yang sedang meresap masuk dalam kehidupan mereka.


Sumber: Berita Harian

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan kisah menyayat hati seorang bekas anggota tentera, Mohd Radzi Mustafa, yang menghembuskan nafas terakhir selepas mengalami kerosakan paru-paru dan jantung akibat penggunaan vape. Lebih memilukan, arwah sempat memuat naik video terakhirnya dari katil hospital, merayu orang ramai agar berhenti menghisap vape sebelum terlambat. Kisahnya bukan sekadar statistik, tetapi satu peringatan ikhlas daripada seorang insan yang menanggung derita sebenar di hujung nyawa. Dalam masa yang sama, kes remaja berusia 15 tahun di Perlis yang diserang sawan akibat vape menambahkan kerisauan– menunjukkan betapa seriusnya isu ini, terutamanya di kalangan pelajar sekolah. Sudah tiba masanya kita berhenti anggap vape sebagai trend dan mula lihat ia sebagai ancaman kesihatan yang sebenar.

Kenapa Pelajar Mudah Terpengaruh?

1. Reka bentuk & perisa yang ‘mesra kanak-kanak’

Produk vape hari ini tampil comel dan ‘friendly’ — menyerupai pen drive, pemadam, atau alat tulis. Tambah pula dengan flavor manis seperti strawberi, mangga dan gula-gula kapas, ia secara tidak langsung memikat minat anak-anak yang masih belum matang menilai risiko.

2. Sangat mudah diperoleh

Meskipun vape dikawal, hakikatnya ramai pelajar masih mampu membelinya — sama ada di kedai fizikal, kiosk kecil, atau lebih mudah lagi, secara dalam talian. Harga pun tidak mahal, menjadikannya mudah dimiliki oleh pelajar yang mungkin hanya berbekalkan duit belanja sekolah.


Sumber: Buletin TV3

3. Tekanan sosial & pengaruh kawan

Di usia remaja, rakan sebaya adalah dunia mereka. Jika kawan hisap vape dan kelihatan ‘cool’, mereka juga ingin mencuba. Ditambah dengan pengaruh media sosial dan konten yang ‘glamor’kan vape, imej ini terus meresap dan menjadi budaya dalam kelompok remaja.

Apa Kita Boleh Buat Sebagai Ibu Bapa dan Ahli Keluarga?

1. Mulakan Pendidikan Awal tentang Bahaya Vape

Jangan tunggu sehingga anak meningkat remaja. Mulakan dengan berbincang santai tentang bahaya vape — ceritakan kesan jangka pendek seperti pening, loya, dan sesak nafas; serta kesan jangka panjang seperti kerosakan paru-paru dan ketagihan.

2. Peka terhadap perubahan tingkah laku anak

Adakah anak sering mengasingkan diri? Sering ke tandas? Nafas berbau pelik? Prestasi sekolah menurun secara tiba-tiba? Ini mungkin isyarat awal sesuatu sedang berlaku. Tindakan awal boleh selamatkan mereka.

3. Bina komunikasi terbuka, bukan suasana menghukum

Anak-anak akan lebih terbuka jika mereka tahu mereka tidak akan terus dihukum. Jadilah pendengar, bukan penghakim. Ajak mereka berbincang dan sama-sama cari jalan penyelesaian — lebih-lebih lagi bila melibatkan tekanan sosial dari rakan sebaya.

Kesimpulannya, kita tak boleh tunggu lagi. Fenomena “vape ganti sarapan” ini bukan sekadar trend pelik yang berlalu begitu sahaja. Ia adalah cermin kegagalan kolektif — kegagalan untuk memantau, memahami, dan membimbing generasi muda dalam dunia yang semakin kompleks.

Jika hari ini kita dengar anak orang lain mula vape umur 8 tahun, esok mungkin giliran anak kita jika kita tidak mula bertindak. Mulakan dengan mendidik. Mulakan dari rumah.

Ingin bantu anak belajar dengan cara yang lebih sihat dan menyeronokkan?

Kenalkan mereka kepada Aplikasi Pandai — platform pembelajaran interaktif yang mesra pelajar sekolah rendah dan menengah. Dengan kuiz harian, nota ringkas, flashcards dan pembelajaran berasaskan game, anak anda boleh kekal fokus — tanpa perlu mencari ‘hiburan’ yang berisiko.

Kerana pelajar yang bijak… tak perlukan vape untuk rasa ‘cool’.

Sumber:

  1. Shahira, N. (2023, June 15). Pengaruh Rakan, Ahli Keluarga Alasan Pelajar hisap Vape . Buletin TV3. https://www.buletintv3.my/nasional/pengaruh-rakan-ahli-keluarga-alasan-pelajar-hisap-vape/ 
  2. Sekumpulan Pelajar hisap vape di Surau Batu Caves, Pihak Sekolah tampil ambil tindakan tegas – berita | majoriti. (n.d.) https://majoriti.com.my/berita/2025/05/07/video-sekumpulan-pelajar-hisap-vape-di-surau-batu-caves-pihak-sekolah-tampil-ambil-tindakan-tegas
  3. Pesanan Terakhir Arwah Abang Rock, penghisap Vape Tegar. (n.d.-c). https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/05/1394561/pesanan-terakhir-arwah-abang-rock-penghisap-vape-tegar 
Exit mobile version