GET PANDAI APP NOW

Articles

3 Aktiviti Meningkatkan Kemahiran Motor Halus Kanak-Kanak

Kredit: Pinterest

Perkembangan kanak-kanak sering dinanti-nantikan oleh ibu-bapa, khususnya mereka yang mempunyai anak kecil. Lazimnya, perkembangan kanak-kanak berkait rapat dengan kemahiran motor halus mereka. Kemahiran motor halus merujuk kepada kemampuan menggunakan dan mengawal gerakan otot tubuh, terutamanya tangan dan jari. Ia melibatkan koordinasi mata dan tangan, keseimbangan, kekuatan, dan ketepatan gerakan. Oleh itu, dalam penulisan kali ini, Pandai akan berkongsikan beberapa aktiviti kanak-kanak yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kemahiran motor halus mereka. Sesetengah aktiviti kanak-kanak yang dikongsikan ini perlulah dipantau oleh orang dewasa.

#1 Bermain Pasir Kinetik

Kredit: Pinterest

Aktiviti bermain pasir kinetik adalah sangat menarik dan menyeronokkan untuk kanak-kanak! Apabila kanak-kanak bermain dengan pasir kinetik, mereka akan menggunakan tangan dan jari mereka untuk mengubah bentuk pasir mengikut kreativiti mereka sendiri. Permainan ini membantu meningkatkan kemahiran motor halus mereka seperti menggenggam, memegang dan memindahkan pasir kinetik. Selain itu, bermain dengan pasir kinetik juga dapat merangsang imaginasi, kreativiti dan pemikiran kognitif kanak-kanak.

#2 Bermain Blok Binaan dan Lego

Kredit: Pinterest

Blok binaan dan lego yang berwarna warni dapat meningkatkan minat kanak-kanak untuk bermain! Ianya dilihat dapat membantu kanak-kanak membina struktur bangunan atau apa sahaja yang mereka bayangkan, mengikut imaginasi tersendiri. Tambahan pula, semasa bermain dengan blok binaan dan lego, mereka boleh belajar menyusun, mengatur dan mencipta struktur menggunakan blok dengan saiz yang berbeza-beza, dan sekaligus dapat meningkatkan kemahiran motor kanak-kanak. Selain itu, mereka juga dapat belajar tentang bentuk, warna dan ukuran semasa bermain. Jadi, berikanlah kanak-kanak peluang untuk bermain dengan blok, dan lihatlah kreativiti mereka berkembang!

#3 Bermain Puzzle

Kredit: Pinterest

Bermain puzzle merupakan aktiviti yang sedikit mencabar untuk kanak-kanak memandangkan permainan ini memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Ibu bapa boleh memberikan anak-anak mereka kepingan puzzle yang perlu disusun untuk membentuk imej dan corak yang lengkap. Aktiviti ini membantu meningkatkan skil pemikiran kritikal (Critical Thinking Skills), kreativiti dan kesabaran kanak-kanak. Keseronokan akan dapat dirasai setelah kanak-kanak selesai menyusun puzzle.

Apakah Kepentingan Meningkatkan Kemahiran Motor Halus Untuk Kanak-Kanak?

Kemahiran motor halus membantu untuk membentuk asas pembelajaran kanak-kanak dan mempersiapkan mereka untuk mencapai akademik yang lebih baik sejak dari kecil lagi. Tambahan pula, kemahiran motor halus memainkan peranan yang penting dalam pembangunan keseluruhan kanak-kanak. Hal ini kerana ianya membantu kanak-kanak melakukan tugas seperti menulis, melukis, membutang pakaian dan menggenggam objek kecil, serta memupuk keyakinan seawal mungkin.

Kesimpulannya, aktiviti-aktiviti seperti bermain pasir kinetik, blok binaan atau lego, dan puzzle dapat merangsang kemahiran motor halus kanak kanak. Untuk memastikan anak-anak membesar dengan sempurna, ibu-bapa boleh memberikan anak-anak mereka bermain permainan yang sedemikian. Lebih bagus lagi jika ibu-bapa turut serta meluangkan masa dengan anak-anak mereka di waktu lapang.

Muat turun aplikasi Pandai sekarang di Google Play atau App Store.
Jangan lupa ikuti Pandai di media sosial juga!
FB: @pandaiofficial
Instagram:@pandaiofficial
Twitter: @pandaiofficial
Tiktok: @pandaiofficial