KEMAHIRAN 3M adalah kemahiran asas dalam sistem pendidikan di Malaysia namun menjelang 2011, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) diperkenalkan secara berperingkat menggantikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR).
Pengenalan KSSR ini menambah satu “M” lagi iaitu menaakul. Kemahiran menaakul ini merujuk kepada kemahiran berfikir berasaskan logik akal dan kemampuan berfikir secara rasional.
Dasar Pendidikan Negara menggariskan KSSR dibentuk bagi memperkembangkan potensi individu setiap murid secara menyeluruh bagi melahirkan modal insan yang seimbang, harmonis, berakhlak mulia, kritis, kreatif, inovatif serta memiliki kemahiran insaniah sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran semasa dan abad ke-21.
Dalam KSSR, tahap satu sekolah rendah yang merangkumi Tahun Satu hingga Tiga tertumpu kepada penguasaan 4M selain kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat, perkembangan sosio emosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Bagi tahap dua sekolah rendah (Tahun Empat hingga Enam ) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosio emosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.
Bagaimanapun, kemahiran sama ada 3M atau 4M dibimbangi pandemik COVID-19 membesarkan lagi angka keciciran murid sekali gus kadar cilik huruf di Malaysia.
Secara umum, kadar celik huruf di Malaysia pada usia 10 tahun ke atas sudah mencapai 92 peratus pada 2000 dengan rekod keciciran murid sekolah rendah di Semenanjung Malaysia adalah pada kadar 0.26 hingga 0.74 peratus bagi 2014 hingga 2016.
Kadar keciciran di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah antara 0.05 hingga 0.10 peratus untuk tempoh yang sama.
Namun, kadar keciciran dalam kalangan murid sekolah rendah semakin meningkat susulan penularan wabak COVID-19.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata kadar keciciran di peringkat sekolah rendah meningkat daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.13 tahun lalu. – Berita Harian