GET PANDAI APP NOW

Articles

Panduan & Cara mengajar, menguasai subjek Sains ketika PdPR

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memberi cabaran tersendiri kepada guru yang mengajar subjek Sains. Selain kedudukannya sebagai subjek penting, kaedah pengajarannya sebelum ini disampaikan menggunakan prosedur dan proses terperinci sama ada ia berlangsung di kelas atau makmal.

Bagaimanapun dengan kaedah pembelajaran semasa, pengajaran subjek Sains sangat mencabar bukan hanya untuk guru tetapi juga pelajar. Lebih mencabar lagi, tahap kemampuan pelajar memahami Sains juga berbeza-beza. Ada yang cepat faham, sederhana dan ada pula yang memerlukan masa yang lebih panjang.

Subjek Sains sudah dipelajari murid sejak sekolah rendah dengan memberi pendedahan kepada bidang penciptaan saintifik dan penggunaan teknologi terkini. Ia adalah sebahagian usaha Dasar Sains dan Teknologi (1986) yang bertujuan menggalakkan penciptaan saintifik dalam kalangan pelajar.

Apabila berada di sekolah menengah, subjek ini dibahagikan secara terperinci kepada Biologi, Kimia dan Fizik.

Bagaimanakah agaknya subjek Sains dapat dikuasai menerusi kaedah pembelajaran terkini? PdPR membawa norma baharu bersamanya iaitu, Sains perlu dipelajari secara kendiri tanpa bergantung kepada guru sepenuhnya.

Kebanyakan pelajar tidak minat Sains dan mempunyai persepsi negatif mengenainya, itu hal yang biasa kita dengar. Bagi mereka, Sains adalah subjek yang perlu dihafal, susah hendak difahami dan tidak menyeronokkan. Bagaimanapun hal itu boleh diubah jika mereka dibantu untuk menguasainya walaupun mempelajarinya dalam talian.

1) Peta minda beranimasi

Hanya guru yang bercakap, murid mendengar, kaedah pengajaran ini sangat membosankan. Sebaliknya, minta pelajar sediakan peta minda berserta animasi merujuk kepada teori Sains dan eksperimen. Ibu bapa boleh membantu anak-anak menyediakan peta minda dengan berbincang topik berkaitan bersama mereka. Peta minda beranimasi membantu memudahkan pelajar mengingati dan memahami apa yang dipelajari. Ibu bapa juga dapat memantau dan menilai tahap kefahaman anak dan mengesan di mana kelemahan mereka. Tidak semestinya menggunakan peranti, peta minda juga boleh dilukis dengan tangan.

2) Perbincangan santai dalam PdPR

Guru juga boleh berkongsi dengan pelajar pautan laman sosial berkaitan topik atau tajuk yang ingin diajar. Selain itu, artikel atau berita berkaitan perkembangan Sains juga boleh dijadikan bahan bacaan tambahan untuk dibincangkan dalam kelas. Perbincangan akan lebih menyeronokkan jika ia dibuat secara tidak formal. Dalam hal ini, guru berperanan mewujudkan suasana perbincangan supaya ia tidak terlalu serius sekali gus menggalakkan pelajar mengeluarkan pendapat dengan lebih santai. Ia juga boleh diselitkan dengan interaktif seperti lukisan, komik, permainan mudah yang bertujuan menarik minat dan fokus pelajar.

3) ‘Makmal’ di rumah

Jadikan rumah sebagai ‘makmal’ yang menyeronokkan. Pelajar boleh mendekati Sains dengan cepat dan mudah dengan membuat eksperimen yang tidak membabitkan kos seperti rangsangan dan gerak balas, pengamatan struktur pembiakan bunga, ujian ketumpatan objek di dalam air, pengambilan nutrisi makanan dan lain-lain. Hasil eksperimen di rumah boleh dibentangkan melalui buku skrap dengan kreativiti sendiri. Uji kaji Sains ini lebih menyeronokkan jika dilakukan bersama ahli keluarga sebagai aktiviti santai secara harian atau di hujung minggu. Dalam hal ini, ibu bapa juga boleh berkongsi ilmu dan pengalaman mereka berkaitan uji kaji yang dibuat bagi memudahkan pemahaman murid.

4) Rakaman video pendek

Buat rakaman video pendek berkaitan topik Sains. Hasil tugasan ini boleh dibincangkan bersama di dalam kelas melalui pembentangan video dan ulasan secara lisan. Contoh video yang boleh dilakukan seperti proses penyediaan dan menanam sayur di dalam pasu (seperti salad, sawi, kangkung dan bayam) di mana pelajar boleh kaitkan aktiviti ini melalui penggabungan beberapa topik lain seperti proses hidup tumbuhan, fotosintesis dan pengkelasan tumbuhan.

5) Sains dan media sosial

Sains tidak hanya tertumpu kepada teori dan eksperimen. Sebaliknya, ia juga membabitkan hubungan antara manusia, alam sekitar, tumbuhan dan haiwan. Pembelajaran Sains boleh diharmonikan melalui penggunaan teknologi media sosial selari dengan minat generasi muda yang boleh dikatakan setiap pelajar terdedah dengan teknologi maklumat dan gajet. Perkongsian rakaman video di media sosial secara tidak langsung juga dapat memberi kesedaran kepada masyarakat umum tentang kepentingan alam sekitar dan hidupan liar terhadap ekosistem. Galakan seperti ini juga dapat menerapkan nilai cinta generasi muda terhadap bumi dan hidupan lain. Perkongsian itu mungkin aktiviti berkaitan alam sekitar dan hidupan liar misalnya kempen cintai alam sekitar, sayangi sungai kita atau konsep semula.

*Sebagai rujukan artikel asal boleh lihat di laman web berita harian.

Related posts
PandaiProgram

Program Cuti Sekolah 2024: Aktiviti Seisi Keluarga! Pandai Carnival

NewsPandai

SKOR SPM 2023: Latihan dan Soalan Spot & Ramalan

Articles

5 Studying Methods to Enhance Your Learning Journey!

Articles

How to be More Involved in Your Child's Education