GET PANDAI APP NOW

Articles

Panduan kenal pasti bakat, kecerdasan murid

TAHAP pembelajaran seorang murid boleh dibantu dengan mengenal pasti bakat dan minatnya yang dikenali sebagai kecerdasan pelbagai.

Terdapat lapan jenis kecerdasan pelbagai yang dimiliki kanak-kanak iaitu; verbal linguistik, logik matematik, visual ruang, kinestetik, muzik, intrapersonal, interpersonal dan naturalistik.

Bagaimana lapan jenis kecerdasan pelbagai ini boleh membantu murid? Minda kanak-kanak penuh dengan perasaan ingin tahu. Mereka sentiasa mahu meneroka dunia yang menakjubkan dan baharu. Sebagai guru dan ibu bapa kita harus menyediakan persekitaran yang dapat mengoptimumkan kebolehan mereka.

Aktiviti yang dirancang untuk anak-anak seharusnya dapat memberikan hala tuju dan pemahaman yang lebih baik bagaimana cara untuk mengurus alam dan persekitaran mereka. Aktiviti ini seharusnya juga dapat meningkatkan minat dan kebolehan supaya mereka menyedari bakat yang dimiliki.

Jenis kecerdasan ini perlu diasah dan dimanfaatkan khususnya bagi membantu pembelajaran murid.

Tanggapan salah terhadap murid

• Sebenarnya, kita sebagai orang dewasa selalu memberi tanggapan yang salah mengenai kecerdasan kanak-kanak. Terdapat pendapat yang menyatakan kecerdasan mereka adalah tetap dan tidak boleh diubah. Justeru, sangat biasa untuk melihat murid yang lemah selalu dipinggirkan tanpa diberi peluang untuk menunjukkan kecerdasan atau kebolehan. Contohnya, kanak-kanak yang tidak mahir matematik selalu dianggap lemah dalam pembelajaran yang lain juga. Sedangkan, mereka mempunyai kebolehan lain yang seharusnya dipupuk.

• Kita juga sering tidak meletakkan harapan kepada murid yang lemah malah beranggapan kebolehan dan kecerdasan adalah tuah yang hanya untuk mereka yang bernasib baik. Sebenarnya, kecerdasan kanak-kanak yang pelbagai ini boleh dilatih dan ditingkatkan.

• Kecerdasan bukan hanya diwarisi daripada ibu bapa yang bijak, tetapi ia adalah perkara yang boleh ditingkatkan dan boleh dipengaruhi oleh persekitaran. Justeru itulah, sebagai ibu bapa dan guru kita perlu menyediakan persekitaran yang bersesuaian.

Apa sebenarnya kecerdasan pada diri anak-anak? Seorang murid tidak hanya berkebolehan dalam sesuatu hal sahaja sebaliknya mereka mempunyai pelbagai kecerdasan malah berkemungkinan memiliki kombinasi beberapa daripadanya.

Contohnya, seorang murid yang bijak dalam matematik, dia juga kemungkinan baik dalam bermain alat muzik dan mempunyai kebolehan dalam bersukan. Namun ada murid lain pula mempunyai kebolehan berkomunikasi dengan orang lain dan mampu menguasai beberapa bahasa dengan baik.

Walau bagaimanapun, kombinasi dan jenis kecerdasan kanak-kanak ini adalah bersifat dinamik. Adanya latihan dan jenis pengalaman yang dapat disusun dengan baik, kecerdasan kanak-kanak ini boleh ditambah dan ditingkatkan. Contohnya, kanak-kanak yang tiada bakat muzik pada awalnya, tetapi oleh kerana persekitaran dan latihan yang diberikan bakat dan kecerdasan dalam bidang itu dapat dibentuk dan ditingkatkan. Justeru, kanak-kanak ini berhak diberi peluang untuk mengenal dan membangunkan kecerdasan mereka.

Dalam hal ini, guru dan ibu bapa harus memberi dorongan supaya murid dapat mengenal potensi diri mereka dan seterusnya memberi keyakinan kepada mereka dalam meningkatkan kecerdasan diri masing-masing.

Mengenal lapan kecerdasan

Gambar dari verywell website

Terdapat lapan jenis kecerdasan pada diri kanak-kanak. Justeru guru dan ibu bapa boleh mengenalpasti dan menggunakan jenis kecerdasan ini untuk mengoptimumkan cara pembelajaran kanak-kanak.

1. Kecerdasan verbal linguistik – merujuk kepada kemampuan kanak-kanak menggunakan perkataan secara berkesan sama ada secara lisan atau tulisan termasuk kebolehan memanipulasikan ayat, gaya bahasa dan pengucapan dengan baik dan sempurna. Melalui kecerdasan ini gaya pembelajaran kanak-kanak boleh dipelbagaikan dengan menyediakan aktiviti seperti bercerita, bersajak atau melalui aktiviti perdebatan. Sebagai contoh, pembelajaran sains melalui bercerita adalah antara aktiviti pembelajaran sains yang berkesan.

2. Kecerdasan muzikal – merujuk kemampuan kanak-kanak untuk menggemari dan meluahkan perasaan melalui muzik. Kecenderungan ini termasuk kepekaan terhadap ritma, melodi dan kesukaan kepada hasil muzik. Banyak aktiviti pembelajaran yang boleh digunakan dengan menggunakan cara pembelajaran ini. Sebagai contoh, untuk menghafal nama-nama rasul kita boleh menggunakan cara muzik dan ritma yang dapat memudahkan kanak-kanak untuk menghafal.

3. Kecerdasan kinestatik – iaitu pergerakan dan kemahiran fizikal seperti koordinasi, keseimbangan dan kelenturan badan. Ibu bapa dan guru boleh menggunakan pergerakan anggota badan untuk meluahkan idea dan perasaan semasa pembelajaran kanak-kanak. Contohnya, guru boleh merancang aktiviti permainan yang membabitkan pergerakan dan interaksi bagi pembelajaran matematik. Penggunaan otot dan sentuhan akan membolehkan kanak-kanak mudah faham dan lebih mudah untuk mengingat.

4. Kecerdasan logik matematik – merujuk kepada kebolehan kanak-kanak menggunakan nombor, mengenal pasti corak, menunjukkan perkaitan, dan memberikan sebab dan akibat yang logik. Kecerdasan ini membabitkan pemikiran kanak-kanak secara inkuiri dan sifat ingin tahu. Aktiviti dalam kecerdasan logik matematik ini dapat menyediakan kanak-kanak dengan cara pemikiran yang saintifik dan memberikan sebab dan jawapan yang konkrit. Aktiviti seperti menggalakkan pertanyaan dan memberikan soalan yang mencabar minda kanak-kanak akan dapat menyediakan mereka dengan jenis kecerdasan ini.

5. Kecerdasan visual-ruang – iaitu kebolehan kanak-kanak untuk mencipta gambaran mental dan mengamati dunia visual. Murid yang tinggi dalam jenis kecerdasan ini lebih peka terhadap warna, garis bentuk dan ruang. Mereka mempunyai kebolehan dalam membayangkan dan mengaitkan diri dalam matriks ruang. Banyak jenis permainan minda yang dapat mencabar jenis kecerdasan visual ruang kanak-kanak. Antaranya adalah permainan catur, kiub rubik dan sudoku. Jenis permainan ini mencabar kemampuan kanak-kanak untuk berfikir dalam  tiga dimensi. Kecerdasan ruang ini memungkinkan kanak-kanak untuk menterjemahkan apa yang dibayangkannya atau melukis bayangan itu.

6. Kecerdasan interpersonal – ia berkait dengan bagaimana kanak-kanak dapat memahami perasaan, keinginan serta perasaan kawan mereka. Kecerdasan ini memungkinkan mereka untuk berkawan dan berinteraksi, bahkan kanak-kanak juga mampu menjaga hubungan sosial. Aktiviti pembelajaran yang boleh dirancang oleh ibu bapa dan guru termasuklah perbincangan, belajar secara berkumpulan atau menyelesaikan tugasan belajar secara berpasangan.

7. Kecerdasan intrapersonal pula merujuk kepada kesedaran kanak-kanak mengenai diri sendiri. Kesedaran ini merujuk kepada perasaan, ‘mood’ dalaman, kehendak, motivasi, dorongan dan kemampuan untuk mendisiplinkan diri mereka. Kanak-kanak boleh digalakkan untuk bercerita mengenai perasaan mereka dan meluahkan apa dirasai. Beri peluang mereka belajar dalam situasi atau keadaan persekitaran yang diinginkan. Misalnya, peluang untuk menghias tempat belajar mengikut gaya cita rasa dan ‘mood’ mereka.

8. Kecerdasan naturalistik iaitu merujuk kepada kepekaan terhadap perubahan dan keadaan alam sekitar. Kanak-kanak dari peringkat bayi lagi sudah mula mengenal pola dan corak persekitaran mereka dan belajar menyesuaikan diri dengannya. Justeru, ibu bapa dan guru seharusnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mencintai dan menghargai alam sekitar. Banyak aktiviti pembelajaran boleh dikaitkan dengan persekitaran kanak-kanak seperti membawa mereka ke taman dan tempat rekreasi.

Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia

*Sebagai rujukan artikel asal diboleh lihat di laman web berita harian.

Related posts
PandaiProgram

Program Cuti Sekolah 2024: Aktiviti Seisi Keluarga! Pandai Carnival

NewsPandai

SKOR SPM 2023: Latihan dan Soalan Spot & Ramalan

Articles

5 Studying Methods to Enhance Your Learning Journey!

Articles

How to be More Involved in Your Child's Education