GET PANDAI APP NOW

News

PdPR: Calon SPM 2021 paling terkesan

KUALA LUMPUR: Selepas berakhirnya cuti pertengahan tahun, pelajar kembali menyambung sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada minggu ini, susulan penularan kes COVID-19 yang masih tinggi.

Pada situasi semasa, PdPR kaedah terbaik bagi mengurangkan risiko jangkitan dalam kalangan pelajar, berikutan wujudnya beberapa kluster institusi pendidikan, selain trend terbaharu jangkitan dalam kalangan kanak-kanak melalui gelombang ketiga yang dilaporkan.

Walaupun kebanyakan ibu bapa berasa lega apabila PdPR disambung untuk tempoh 25 hari lagi, namun timbul juga kebimbangan sekiranya tempoh pembelajaran itu berlanjutan dalam tempoh lebih lama lagi.

Jika berlanjutan, sudah pasti memberi cabaran besar terutamanya kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, memandangkan sejak tahun lepas lagi, mereka kurang mendapat peluang belajar secara bersemuka di sekolah, berikutan penularan pandemik itu.

Berbeza dengan pelajar SPM 2020, mereka berpeluang menjalani sesi persekolahan secara fizikal ketika Tingkatan Empat dan hanya menghadapi kemelut pembelajaran ketika memasuki tingkatan lima.

Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Syed Mohamad Syed Abdullah mengakui pihaknya menerima banyak rungutan mengenai kebimbangan terhadap isu kaedah pembelajaran berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan dan pemerhatian, kebanyakan ibu bapa, biarpun berasa lega dan selamat apabila anak-anak mereka berada di rumah, pada masa sama bimbang jika PdPR berlangsung dalam tempoh lebih lama.

“Memang pelajar SPM 2021 golongan paling terkesan ketika ini.

“Kerisauan ibu bapa lebih kepada ketidakpastian sama ada anak mereka faham atau sebaliknya, apabila belajar secara PdPR, selain tidak bersemangat kerana pelbagai masalah atau kekangan dihadapi ketika belajar secara dalam talian,” katanya.

Syed Mohamad berkata, isu itu bermaksud penyesuaian ibu bapa serta pelajar dalam PdPR kerana ibu bapa masih berpandangan sesi secara bersemuka di sekolah amat penting dalam membantu mendapatkan pembelajaran lebih baik.

Dalam menangani faktor kebimbangan serta kelesuan motivasi dalam kalangan pelajar khususnya calon SPM 2021, pendekatan sebaiknya pada masa ini ialah menjadikan kejayaan serta semangat pelajar SPM 2020 sebagai satu indikator buat mereka untuk lebih fokus dan kekal berdaya juang.

“Mereka tidak perlu bimbang tetapi sebaiknya mengambil semangat abang, kakak SPM 2020 yang mendapat keputusan cemerlang, meskipun dalam situasi pembelajaran tidak menentu menerusi PdPR. Maksudnya, ini bukanlah penghalang meraih kejayaan.

“Sebenarnya, mereka yang SPM 2020 berhadapan cabaran lebih sukar memandangkan tengah belajar secara tiba-tiba pengoperasian sekolah bertukar kepada kaedah PdPR dan ketika itu kita sedia maklum pelbagai masalah dihadapi disebabkan ia masih baharu,” katanya.

Biarpun mengakui masih terdapat beberapa masalah dalam melaksanakannya, usaha menambah baik yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan, mahupun guru memastikan pengajaran PdPR lebih menarik bagi meningkatkan penerimaan pelajar.

Calon SPM 2021 sebenarnya mempunyai ‘kelebihan’ kerana didedahkan awal dengan PdPR dan pengalaman itu pastinya membantu memudahkan mereka untuk mengadaptasi dengan lebih baik.

Beliau percaya sekolah mempunyai pelan dan strategi sekiranya kaedah pembelajaran secara dalam talian ini berlanjutan lebih lama, berdasarkan pengalaman yang ditempuh sebelum ini.

Pelbagai alternatif dalam melaksanakan PdPR turut dijalankan dan tidak hanya tertumpu secara dalam talian sahaja. Ini termasuk saluran televisyen pendidikan seperti DidikTV KPM serta pembabitan pelbagai agensi lain dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut membantu memastikan sesi pembelajaran PdPR kali ini, lebih baik berbanding sebelumnya.

“Walaupun bertambah baik, keberkesanan PdPR masih perlu dibuat kajian lanjut oleh Kementerian Pendidikan bagi mengenal pasti pelbagai kelompongan, kekurangan, supaya dapat diatasi segera. Kita mungkin tidak dapat membuat penambahbaikan sekali gus, tetapi usaha ini perlu dipertingkat dari semasa ke semasa seperti membantu golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam pelajaran,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Universiti SEGI, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berpandangan kementerian itu boleh menggunakan DidikTV KPM dengan sasaran lebih menyeluruh untuk mengetengahkan program yang dapat membantu mengurangkan tekanan pelajar.

Mariani berkata, menerusi saluran televisyen, pihak sekolah, guru dan ibu bapa boleh memainkan peranan masing-masing dalam ekosistem pandemik pada masa kini, bagi memastikan emosi dan minda pelajar stabil.

“Dengan situasi belajar di rumah, saya cadangkan supaya khaskan satu episod di DidikTV KPM untuk kita wujudkan bengkel atau webinar yang boleh membantu dan mendidik pelajar, agar mereka tenang dan lebih positif dalam mendepani cabaran menghadapi pandemik.

“Guru bukan hanya mengajar, sebaliknya boleh membimbing. Tampilkan guru bimbingan dan kaunseling yang boleh memberi khidmat nasihat kepada pelajar,” katanya. – BERNAMA

Related posts
Articles

Cara mudah kuasai bahasa Inggeris

Articles

Panduan kenal pasti bakat, kecerdasan murid

Articles

Perbandingan antara Pandai vs i-Learn Ace

Articles

Panduan & Cara mengajar, menguasai subjek Sains ketika PdPR