GET PANDAI APP NOW

News

Tarikh operasi institusi pendidikan ikut fasa baharu PPN

KUALA LUMPUR: Susulan beberapa negeri catat peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini, pembukaan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dilaksana mengikut ketetapan fasa baharu, selepas dua minggu tarikh peralihan fasa.

Berikutan ketetapan itu, semua institusi pendidikan di bawah KPM di Johor akan dibuka bermula 10 Oktober depan berdasarkan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sekolah di Pahang pula kekal dibuka pada 4 Oktober, berdasarkan ketetapan pengoperasian bagi negeri Fasa 2 PPN dan beralih mengikut ketetapan Fasa 3 PPN bermula 11 Oktober depan, berikutan negeri itu beralih ke Fasa 3, hari ini.

“Bagi Negeri Sembilan, pembukaan institusi pendidikan bawah KPM kekal pada 4 Oktober 2021 berdasarkan ketetapan pengoperasian institusi pendidikan bagi negeri Fasa 3 PPN.

“Bagaimanapun, berikutan Negeri Sembilan beralih ke Fasa 4 pada hari ini, pengoperasian institusi pendidikan di Negeri Sembilan berdasarkan Fasa 4 PPN akan bermula pada 18 Oktober depan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Tarikh pembukaan institusi pendidikan KPM itu dibuat dengan mengambil kira pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu, berkaitan peralihan fasa PPN bagi Johor, Pahang dan Negeri Sembilan berkuat kuasa hari ini.

KPM menetapkan, jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikannya mengikut ketetapan fasa baharu akan dilaksanakan selepas dua minggu dari tarikh peralihan ke fasa berkenaan.

Kenyataan KPM memaklumkan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga memberi kelulusan untuk pelajar Tingkatan 6 Semester 2 dan kelas peperiksaan antarabangsa (IGCSE O-Level) di negeri Fasa 1 hadir ke institusi pendidikan tanpa penggiliran.

“Oleh itu, pengoperasian institusi pendidikan di Kedah akan bermula pada 10 Oktober 2021 untuk kumpulan murid berkenaan. Murid lain kekal mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah.

“Susulan pengumuman Langkawi sebagai kawasan gelembung pelancongan pada 16 September lalu, pengoperasian institusi pendidikan bermula pada 3 Oktober depan adalah berdasarkan ketetapan negeri Fasa 4 PPN,” katanya.

Bagi institusi pendidikan di negeri lain yang tidak terbabit dengan peralihan fasa, pengoperasian institusi pendidikan adalah berdasarkan ketetapan fasa sedia ada seperti diumumkan kementerian pada 12 September lalu.

KPM menjelaskan, institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.

Katanya, ia juga terpakai kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat.

“KPM juga menyarankan supaya ketetapan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk institusi pendidikan bawah kerajaan negeri,” katanya. – Berita Harian

Related posts
PandaiProgram

Program Cuti Sekolah 2024: Aktiviti Seisi Keluarga! Pandai Carnival

NewsPandai

SKOR SPM 2023: Latihan dan Soalan Spot & Ramalan

Articles

5 Studying Methods to Enhance Your Learning Journey!

Articles

How to be More Involved in Your Child's Education