GET PANDAI APP NOW

ArticlesPandai

Masa Depan Pembelajaran Digital: Majlis Perasmian Pelancaran Kelab AI & Robotic (AiRED) di Perlis

Kangar, 21 Mei 2024 – Bengkel Pengenalan AI dan Majlis Pelancaran Kelab AiRED (AI Education Robotic Education) telah dilancarkan di Putra Regency Hotel, Kangar, Perlis. Acara ini dianjurkan oleh Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). 

Program ini diadakan bertujuan untuk mencambahkan minat pelajar untuk menceburkan diri dalam bidang AI dan robotik serta memenuhi keperluan industri pada masa hadapan. Bengkel yang diadakan juga dapat memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang kepentingan dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam kehidupan seharian.

Program ini melibatkan seramai 160 orang pelajar dari lapan buah sekolah terpilih. Sekolah-sekolah yang terlibat dalam bengkel ini ialah SMK Tuanku Lailatul Shahreen, SMK Derma, SMKA Perempuan Kangar, SMKA Arau, SMK Dato’ Sheikh Ahmad, SMK Syed Sirajuddin, SMK Tengku Suleiman dan SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah. 

Majlis perasmian kelab AiRED disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis. Dalam ucapannya, Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan kepentingan teknologi AI dan robotik dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan.

“Melalui kelab ini, pelajar akan didedahkan dengan asas-asas AI dan robotik serta diberi peluang untuk menjalankan projek-projek inovatif yang dapat mengasah kreativiti dan kemahiran teknikal mereka”, titah Baginda ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Kelab AI Robotic Education (AiRED) di Hotel Putra Regency Kangar.

Selain daripada perasmian, acara ini turut menampilkan forum bertajuk ‘Kepentingan AI Dalam Kehidupan’ yang mana Pandai diundang sebagai ahli panel forum dengan tujuan untuk meningkatkan pendedahan dan pemahaman AI dalam kalangan pelajar yang hadir.

Ketahui lebih lanjut tentang Pandai AI di sini.

Majlis ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar untuk mengenali lebih dekat dunia AI dan robotik tetapi juga memperkukuh kerjasama antara institusi pendidikan dan industri teknologi di negeri Perlis.

Dengan pelancaran Kelab AiRED ini, diharapkan ia akan menjadi platform yang berterusan bagi pelajar untuk mengembangkan minat dan kemahiran mereka dalam bidang AI dan robotik, serta menyumbang kepada pembangunan teknologi negara di masa hadapan.

Semoga program ini menjadi satu langkah yang akan memberikan satu anjakan kepada pelajar-pelajar terpilih untuk terus berjaya dalam bidang AI dan Robotik dan menyumbang kepada masa depan negara kita.