GET PANDAI APP NOW

News

Pelajar sekolah menengah PdPR 2 minggu mulai 21 Mac

PUTRAJAYA: Pelajar sekolah menengah akan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama dua minggu mulai 21 Mac ini bagi Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pelajar terbabit kemudian akan menghadiri pembelajaran secara bersemuka tanpa penggiliran di sekolah, mulai 4 April depan.

“Pelajar berkenaan meliputi murid berkeperluan khas (MBK), peralihan, Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan antarabangsa setara,” katanya melalui rakaman video dimuat naik dalam Facebook beliau, hari ini.

Seterusnya bagi sekolah rendah yang mempunyai enrolmen melebihi 600 pelajar, Radzi berkata, murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

Bagi MBK, penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT), prasekolah, Tahun Satu, Tahun Dua dan Tahun Enam pula, beliau berkata, pelajar perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

“Semua ketetapan ini turut terpakai kepada murid sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat dan sekolah antarabangsa yang setara dengan sekolah rendah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagaimanapun, sekolah rendah swasta yang mempunyai enrolmen melebihi 600 pelajar, boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya tanpa penggiliran. KPM akan membuat pertimbangan sebelum kelulusan diberikan.

“Bagi sekolah rendah yang mempunyai kurang daripada 600 murid, semua pelajar sama ada di sekolah harian atau swasta, akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata, pihaknya menggalakkan semua pelajar sama ada sekolah rendah atau menengah, untuk memakai pakaian seragam apabila hadir ke sekolah nanti.

“Namun, kita sedar ada anak-anak kita yang pakaiannya (seragam sekolah) sudah tidak sesuai. Oleh itu untuk pelajar ini, kita membenarkan mereka hadir ke sekolah dengan pakaian sopan dan sesuai,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran pelajar ke sekolah, Radzi menjelaskan sebagaimana dilaksanakan sebelum ini, sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

“Namun, ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah, perlu memaklumkan hal itu kepada pihak sekolah untuk tujuan rekod,” katanya.

Seterusnya, Radzi memaklumkan, sebanyak 10 peratus daripada murid sekolah rendah akan menjalani ujian kendiri COVID-19 di rumah.

“KPM akan membekalkan kit ujian berkenaan dan murid terbabit perlu melakukannya di rumah serta melaporkan keputusan ujian itu kepada pihak sekolah.

“Kita sudah melaksanakan pendekatan ini pada penggal sebelum ini. Kita akan menggunakan pendekatan sama apabila penggal persekolahan baharu bermula nanti,” katanya.

Radzi menjelaskan, pengoperasian sekolah kali ini lebih terbuka dan dapat dilihat hampir keseluruhan pelajar akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

Bagaimanapun, beliau berkata, KPM akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tarikh sesuai untuk semua pelajar hadir ke sekolah tanpa penggiliran.

“Apa yang penting, ketika sesi pembukaan sekolah nanti, KPM berharap ibu bapa, pelajar, guru dan seluruh warga pendidikan ini dapat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Sama-samalah kita memastikan sesi persekolahan ini dapat berlangsung dengan selamat serta teratur dan anak-anak kita dapat datang ke sekolah secara bersemuka, seperti sebelum ini,” katanya. – Berita Harian

Related posts
NewsPandai

Rangkaian 5G Untuk 1,000 Sekolah Terpilih Di Seluruh Negara!

ArticlesPandai

Adakah Pembelajaran Atas Talian Masih Lagi Satu Keperluan?

ArticlesPandai

Tips Untuk Pelajar Yang Selalu Ulangkaji "Last Minute"

ArticlesPandai

Aplikasi Pandai Efektif Di Sekolah Luar Bandar!