Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan Dasar Pendidikan Digital (DPD) untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara secara dinamik dan berterusan, sejajar dengan perkembangan teknologi global. Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengumumkan bahawa DPD bertujuan untuk membangunkan murid fasih digital, memenuhi keperluan era digital, mengupayakan pendidikan dan pemimpin pendidikan, serta mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.
DPD akan memperkukuh infrastruktur dan kandungan pendidikan digital serta mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital. Menurut Fadhlina, melalui teras strategik DPD, murid akan dapat menggunakan teknologi digital untuk pembelajaran dan memanfaatkan inovasi serta transformasi digital di sekolah, rumah, atau di mana-mana sahaja.
Apakah pendidikan digital?
Pendidikan digital merangkumi pembelajaran mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan dengan teknologi digital serta pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif untuk melahirkan generasi fasih digital.
Apakah Dasar Pendidikan Digital?
Dasar Pendidikan Digital (DPD) merupakan pernyataan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memacu perubahan landskap pendidikan digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing menerusi peningkatan pengetahuan, kemahiran dan nilai murid, pendidik dan pemimpin pendidikan; penyediaan infrastruktur, infostruktur dan kandungan yang berkualiti; dan penyertaan aktif rakan strategik secara bersepadu serta menyeluruh dari peringkat prasekolah hingga lepasan menengah.
Apa itu fasih digital?
Fasih digital merujuk kepada keupayaan untuk menggunakan teknologi digital dengan cekap dan bijak. Ini termasuk kemahiran mengendalikan peranti seperti komputer dan telefon pintar, memahami konsep asas teknologi maklumat, serta memiliki kesedaran tentang keselamatan siber. Ia juga melibatkan kemampuan murid untuk menggunakan teknologi digital secara kreatif, bertanggungjawab, dan beretika. Ini termasuk kemampuan mencipta dan menghasilkan inovasi, menganalisis data secara saintifik, menyelesaikan masalah dan berkomunikasi, serta berkolaborasi dengan berkesan.
Kenapa perlu ada DPD?
Tahap kelestarian sekolah di negara ini masih sederhana, dengan 52.7 peratus sekolah berada pada tahap tiga dan ke bawah dalam penarafan kebestarian sekolah pada tahun 2019. Ini menunjukkan banyak sekolah di Malaysia belum mencapai tahap kelestarian yang diinginkan. Pelbagai cabaran yang dihadapi untuk membestarikan sekolah, termasuk ekosistem persekitaran yang kurang memuaskan, pelaksanaan pukul rata, dan isu tadbir urus yang tidak selaras menyebabkan infrastruktur dan infostruktur asas tidak disediakan dengan baik.
Pencapaian kompetensi digital murid pada tahun 2019 juga sederhana, walaupun dalam domain kewarganegaraan digital, pencapaian murid baik. Namun, kajian antarabangsa seperti PISA 2018 dan TIMSS 2019 menunjukkan kapasiti pengkomputeran dan bilangan peranti digital untuk pengajaran dan pembelajaran (PDP) masih rendah. Ini menandakan sekolah di Malaysia belum bersedia sepenuhnya dari segi peralatan komputer, peranti digital, perisian, dan perkhidmatan jalur lebar.
Pandemik COVID-19 menyebabkan PDP tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka dan mendedahkan pelbagai isu dan cabaran dalam PDP dalam talian. Hanya 36 peratus murid memiliki peranti yang diperlukan dan hanya 21 peratus ibu bapa melaporkan kelajuan internet di rumah mereka adalah tinggi. Oleh itu, perlu ada Dasar Pendidikan Digital yang komprehensif dan berkesan untuk mengatasi masalah-masalah ini. Dasar ini perlu memastikan semua sekolah dilengkapi dengan infrastruktur digital yang mencukupi dan tadbir urus yang selaras, supaya setiap murid mempunyai akses yang sama kepada pendidikan digital yang berkualiti.
Objektif DPD
Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, hala tuju DPD adalah untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing. Oleh itu, strategi dan inisiatif disusun agar sejajar dengan objektif DPD, iaitu:
- Membangunkan murid fasih digital untuk memenuhi keperluan era digital
- Mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegerasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan
- Memperkukuh infrastruktur, infostruktur, dan kandungan pendidikan digital
- Mengoptimumkan pelibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital
6 Teras DPD
- Teras 1: Murid fasih digital
Murid yang berpengetahuan dan berkemahiran digital, berupaya melaksanakan pembelajaran kendiri serta menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika. - Teras 2: Pendidik kompeten digital
Pendidik yang berupaya melaksanakan PdP secara berkesan melalui penggunaan teknologi digital secara bersepadu, kreatif dan inovatif. - Teras 3: Budaya kepimpinan digital berwawasan
Pemimpin pendidikan yang berupaya merancang dan mengurus institusi pendidikan bagi memacu transformasi pendidikan digital. - Teras 4: Pengupayaan infrastruktur dan infostruktur
Penyediaan sumber, capaian, aplikasi dan peralatan yang tangkas serta dinamik untuk mengupayakan pendidikan digital. - Teras 5: Kandungan digital berkualiti
Penyediaan capaian dan sumber pendidikan digital yang berkualiti bagi memenuhi standard kurikulum secara menyeluruh untuk mempertingkatkan pengalaman pengguna. - Teras 6: Rakan strategik yang komited
Peluasan penglibatan, jalinan dan jaringan strategik antara sektor awam dengan ibu bapa, komuniti, NGO, GLC dan sektor swasta untuk menyokong pelaksanaan pendidikan digital yang berkesan.
Pandai sebagai Pemangkin Pendidikan Digital
Seiring dengan hasrat dan usaha kerajaan dalam memastikan guru dan pelajar dapat memanfaatkan teknologi supaya fasih digital, Pandai turut membantu pelajar, ibu bapa dan guru menerusi aplikasi Pandai.
Pandai adalah sebuah platform pendidikan digital yang komprehensif, yang bertujuan untuk memperkasa pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam era digital ini.
Pandai untuk Pelajar
Pandai menawarkan pelbagai ciri yang direka khusus untuk membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik mereka. Salah satu ciri utamanya adalah AI AskPbot, yang menggunakan kecerdasan buatan untuk menjawab soalan-soalan pelajar secara interaktif dan tepat. Dengan AI AskPbot, pelajar boleh mendapatkan jawapan segera kepada soalan-soalan yang mereka hadapi dalam pelbagai mata pelajaran. Ini membantu pelajar menyelesaikan masalah dengan cepat dan memberi mereka pemahaman yang lebih mendalam tentang topik-topik yang dipelajari.
Selain itu, Pandai juga menyediakan pelbagai latihan dan ujian yang boleh diakses secara dalam talian. Latihan-latihan ini dirancang mengikut silibus sekolah dan membantu pelajar mengulang kaji pelajaran dengan cara yang lebih berstruktur dan efektif. Pelajar boleh melihat perkembangan akademik mereka dan mengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan penambahbaikan melalui analisis yang disediakan oleh aplikasi ini.
Pandai untuk Ibu Bapa
Pandai juga menyediakan ciri Pandai Parent, yang membolehkan ibu bapa memantau perkembangan akademik anak-anak mereka dengan mudah. Melalui Pandai Parents, ibu bapa boleh melihat rekod prestasi anak-anak, termasuk hasil latihan dan ujian mereka. Oleh itu, ibu bapa dapat mengenal pasti bidang-bidang di mana anak-anak mereka mungkin memerlukan sokongan tambahan.
Pandai untuk Guru
Guru juga mendapat manfaat besar daripada Pandai melalui ciri Pandai Teacher. Ciri ini membolehkan guru menguruskan kelas mereka dengan lebih efisien. Guru boleh menetapkan latihan dan ujian kepada pelajar secara dalam talian, memantau prestasi pelajar, dan memberikan maklum balas yang konstruktif. Dengan analisis yang disediakan oleh Pandai, guru dapat mengenal pasti pelajar-pelajar yang memerlukan perhatian khusus dan menyesuaikan kaedah pengajaran mereka untuk memenuhi keperluan individu pelajar.
Pandai Teacher juga menyediakan sumber-sumber pengajaran yang berkualiti tinggi yang boleh digunakan oleh guru dalam kelas. Sumber-sumber ini termasuk eLadap, nota-nota pelajaran, soalan-soalan latihan, dan bahan-bahan pembelajaran lain yang selaras dengan silibus sekolah. Ini memudahkan guru dalam merancang dan menyampaikan pelajaran dengan lebih berkesan.
Adakah guru akan kehilangan kerja dengan kewujudan AI?
Soalan yang sering bermain di minda bukan sahaja guru malah orang awam. Jawapannya, tidak!
“Walaupun AI dapat meningkatkan pengalaman pembelajaran, ia tidak akan pernah dapat menggantikan sentuhan manusia dalam pendidikan. Pengasas kami sentiasa menekankan prinsip ini kepada semua orang. Pandai direka untuk melengkapkan, bukan menggantikan, guru/tutor manusia. Kami menggunakan AI untuk memudahkan kerja guru seperti penilaian mudah, memberikan maklum balas yang cepat, dan mencadangkan sumber tambahan. Dengan cara ini, guru/tutor dapat memberi tumpuan lebih kepada pengajaran, motivasi, dan bimbingan.”
Farahani Husni, Pengurus Produk & Strategi Pandai,
Kesimpulannya, Pandai berperanan sebagai pemangkin pendidikan digital yang penting di Malaysia. Aplikasi Pandai membantu memastikan pelajar, ibu bapa, dan guru dapat memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya untuk mencapai kejayaan akademik yang lebih tinggi.
Seiring dengan visi kerajaan untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing, Pandai menyediakan platform yang komprehensif dan berkesan untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui penggunaan teknologi seperti AI AskPbot, serta sokongan kepada ibu bapa dan guru, Pandai memastikan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pendidikan dapat bekerja bersama-sama untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
Sumber: