GET PANDAI APP NOW

NewsPandai

Pentaksiran Tingkatan Tiga dimansuh

PUTRAJAYA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin hari ini mengumumkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), pada tahun ini.

Sebaliknya, beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan untuk memperkasakan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) melalui Ujian Akhir Sesi Akademik.

Katanya, biarpun kini tiada peperiksaan pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan PT3, penguasaan dan pencapaian murid boleh diukur melalui pentaksiran secara sumatif yang dijalankan pada akhir tahun, bermula tahun ini.

Beliau berkata, keputusan memansuhkan sistem penilaian akademik yang diguna pakai sejak 2014 itu bertujuan untuk membina kemenjadian dan kompetensi murid, selain memberi ruang untuk melaksana intervensi terhadap murid yang didapati ketinggalan serta tidak mendapat tahap penguasaan sepatutnya.

Sumber : Berita Harian Online

“Pentaksiran sumatif adalah pentaksiran yang dibuat pada akhir tempoh atau sesi akademik.

“Kita sudah biasa laksanakan di sekolah, khususnya melalui ujian akhir tahun atau pertengahan penggal,” katanya pada Sidang Media Khas di kementeriannya, petang ini.

Menegaskan keputusan itu bukan bersifat menggantikan UPSR dan PT3, Radzi berkata, ia sebaliknya membolehkan pentaksiran terhadap penguasaan murid dilakukan setiap tahun.

Kedua-dua pentaksiran UPSR dan PT3 tidak dijalankan pada 2020 dan 2021.

Beliau berkata, sebelum ini, apabila tiada peperiksaan UPSR dan PT3, setiap sekolah dikatakan menyediakan soalan berbeza-beza menimbulkan rungutan bahawa ada sekolah menyediakan soalan yang kompleks manakala ada sekolah yang menyediakan soalan yang udah. 

“Ini bukan untuk menggantikan UPSR dan PT3, cuma kita nak isi kekosongan, apabila kita terima banyak pandangan ibu bapa, guru dan pentadbir sekolah, mengenai tidak ada satu piawaian soalan yang boleh digunakan dan dipercayai,” katanya.

Beliau berkata, ketika UPSR dan PT3 digunakan untuk mentaksir penguasaan murid, ia akan turut memasukkan apa yang dipelajari pada tahun sebelumnya.

Katanya, bermula tahun ini, sekolah rendah dan menengah akan melaksanakan Pentaksiran Sumatif melalui Ujian Akhir Sesi Akademik, dengan bank soalan akan disediakan KPM.

Radzi, berkata ujian itu akan membabitkan murid Tahun Empat, Lima dan Enam bagi sekolah rendah serta Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi sekolah menengah.

Untuk tujuan itu, katanya, KPM akan menyediakan bank soalan bagi lima mata pelajaran untuk murid sekolah rendah iaitu bagi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan mata pelajaran lain akan disediakan guru.

Bagi sekolah menengah, Radzi memaklumkan, KPM akan menyediakan bank soalan untuk semua mata pelajaran.

“Jika kita lihat, apabila bercakap UPSR dan PT3, ini adalah pentaksiran sumatif, bukan hanya pada tahun itu tapi tahun-tahun sebelumnya.

“Ia bukan hanya menilai silibus pada Tingkatan Tiga saja (bagi PT3) tapi turut menilai pembelajaran bagi Tingkatan Satu dan Dua. Jadi, murid sudah lama tinggalkan dan pada Tingkatan Tiga, mereka rasa gugup (untuk berdepan PT3).

“Justeru, dalam pendekatan baharu yang kita perkenalkan ini, kita akan laksanakan penilaian mengikut tahun dan tingkatan,” katanya.

Pada masa sama, pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PDB) yang juga antara komponen PBS akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan dua kali setahun iaitu bermula tahun ini untuk PBD akhir tahun manakala bagi pertengahan sesi ia akan dimulakan pada sesi 2023-2024, tahun depan.

Katanya, melalui pelaporan itu ia merangkumi diskriptor bagi tahap penguasaan lebih komprehensif dan jelas; penilaian tahap usaha murid dalam pembelajaran; ulasan guru kelas dan guru mata pelajaran serta cadangan intervensi bagi murid yang tidak mencapai tahap penguasaan minimum. – Rafidah Mat Ruzki dan Zanariah Abd Mutalib (Berita Harian)

Related posts
ArticlesPandai

Top 5 Method of Improving Students Productivity in School

ArticlesPandai

How To Read More Effectively: 5 Tips For An Effective Reading Session

ArticlesPandai

Pemakaian Uniform di Sekolah; tingkatkan Etika pelajar?

ArticlesPandai

What are the Most Advanced Japan Technological Invention?