GET PANDAI APP NOW

News

Cabaran ibu bapa keluar bekerja hadapi PdPR

KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) memberi cabaran yang bukan sedikit kepada ibu bapa terutama mereka yang perlu keluar bekerja.

Kaunselor Berdaftar, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani, berkata tidak dinafikan sesetengah ibu bapa mungkin akan berasa sedikit tertekan memandangkan anak-anak terutama pra sekolah atau sekolah rendah memerlukan bimbingan sepenuhnya daripada ibu bapa.

Namun begitu, ini adalah sebahagian norma baharu yang diharungi dalam menyokong usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk terus mendidik anak bangsa.

Katanya, perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam menangani cabaran PdPR adalah kesediaan mental dan emosi ibu bapa, guru dan anak-anak sendiri.

“Kehidupan kita hari ini perlu membiasakan diri dengan norma baharu. Ia terpakai bukan saja di alam pekerjaan tetapi juga sistem pendidikan.

“Dalam hal ini ibu bapa perlu mencari solusi atau penyelesaian jika terdapat kekangan. Berbincanglah dengan baik, pasti ada solusi yang boleh diambil bagi memastikan anak-anak tidak ketinggalan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau berkata, selain itu persediaan fizikal seperti peralatan alat bantu seperti peranti mencukupi selain perlunya sokongan sosial komunikasi antara pihak sekolah dan ibu bapa.

“Kita memahami kekangan ibu bapa kini yang mempunyai bilangan anak lebih daripada seorang.

“Di sinilah pentingnya sokongan sosial emosi untuk ibu bapa. Berbincang sesama sendiri dengan membahagikan masa. Dalam situasi kini, kita tahu organisasi atau tempat ibu bapa bekerja ada yang mengehadkan empat jam tempoh bekerja.

“Dengan kaedah itu, ibu bapa boleh merancang aktiviti atau perjalanan PdPR anak masing-masing. Komunikasi bersama-sama pihak sekolah terutama guru kelas atau mata pelajaran juga penting supaya anak-anak tidak ketinggalan membuat tugasan yang diberikan sama ada melalui Google Classroom atau platform lain,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu menguruskan masa dengan baik bagi membolehkan agihan tugas untuk memantau atau menemani anak-anak.

“Pastikan ibu bapa membuat penggiliran untuk tujuan itu. Contohnya giliran bekerja di pejabat atau bekerja dari rumah. Ada juga kedua-dua ibu bapa perlu keluar bekerja sedangkan anak masih belum mampu berdikari, jadi perlulah berbincang secara baik dengan majikan serta guru untuk pengecualian mengikuti PdPR.

“Saya percaya, ada sedikit kelonggaran bagi yang tidak dapat mengikuti sesi pembelajaran dalam talian yang mana guru memberikan tugasan di Google Classroom untuk disiapkan.

“Dengan syarat, ibu bapa perlu memaklumkan pihak guru supaya tidak timbul salah faham atau tanggapan yang negatif,” katanya.

Tambahnya, disiplin diri antara ibu bapa dan anak-anak perlu dipupuk sebaik mungkin. Persediaan awal pada malam hari untuk kelas keesokan harinya adalah langkah terbaik. Pastikan jadual PdPR dan ingatkan anak untuk membuat persediaan awal.

“PdPR kali ini bukan yang pertama kali, jadi guru lebih bersedia dan sistem juga sudah sistematik. Apa yang penting adalah komunikasi,” katanya.

Bagi kakitangan pengurusan, Nurulfarahshah Jamil,33, berkata beliau bimbang anak yang belajar di tahun satu ketinggalan dalam pelajaran kerana tidak banyak peluang untuk memantau sesi PdPRnya.

Tegasnya, walaupun sudah cuba sedaya upaya, masih banyak tugasan yang diberikan guru tidak dapat diselesaikan.

“Saya perlu keluar bekerja, anak-anak yang lain dijaga mentua. Jadi sepanjang saya di pejabat, anak ikuti PdPR sendiri.

“Mujurnya, pihak sekolah dan guru memahami apatah lagi PdPR kali ini bukan yang pertama. Guru juga sangat bekerjasama dengan memaklumkan modul tugasan dan apa yang perlu ibu bapa lakukan,” katanya.

Tambahnya, semua tugasan dan sesi pembelajaran dalam talian juga dimaklumkan beberapa hari lebih awal yang nyata sangat membantu ibu bapa sepertinya.

Sementara itu bagi eksekutif akaun, Izzati Alia Mohd Ashar,33, berkata PdPR yang dijalankan kali ini lebih tersusun berbanding sebelumnya.

Katanya, guru dan pihak sekolah mengambil kira pandangan serta kesusahan ibu bapa terutama mereka yang bekerja.

“Jika PdPR sebelum ini semua berlumba-lumba untuk buat pembelajaran secara dalam talian, tetapi kali ini jadual dan modul yang disusun nampak lebih teratur dengan pembahagian kerja secara ‘offline’,” katanya.

Katanya, berbanding dahulu beliau tidak sempat untuk memantau semua tugasan yang diberikan oleh guru mata pelajaran, tetapi kali ini ia lebih memudahkan ibu bapa yang bekerja.- Berita Harian

Related posts
Articles

Cara mudah kuasai bahasa Inggeris

Articles

Panduan kenal pasti bakat, kecerdasan murid

Articles

Perbandingan antara Pandai vs i-Learn Ace

Articles

Panduan & Cara mengajar, menguasai subjek Sains ketika PdPR