GET PANDAI APP NOW

News

Pendidikan Berkualiti Pemangkin Pembangunan Lestari

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri. – NSTP/Shazreen Zamzuri

Kehadiran COVID19 memberi impak sangat tinggi kepada setiap insan tidak kira usia, pangkat dan bangsa. Seperti sektor lain, bidang pendidikan juga turut terkena tempias dan terkesan dengan kehadiran wabak ini. Kehadiran pandemik membantutkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara fizikal bukan sahaja pada peringkat sekolah, malah universiti turut terjejas.

Hasilnya, aktiviti PdP terpaksa dijalankan secara dalam talian dengan tanggapan semua pelajar mempunyai akses internet sempurna. Namun, hakikatnya, tidak semua pelajar mempunyai capaian internet yang baik untuk menjalani aktiviti PdP secara dalam talian. Jika dilihat dari sudut pandangan yang positif, kehadiran pandemik ini membuka mata banyak pihak mengenai ketersediaan Malaysia dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) digariskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang keempat, iaitu pendidikan berkualiti.

Pendidikan berkualiti bukan sahaja menfokuskan terhadap subjek dan isi kandungan sesebuah mata pelajaran, tetapi turut dilihat dengan lebih mendalam mengenai impak dan keberkesanan sesuatu subjek itu terhadap pelajar itu sendiri.

Diberi situasi seorang pelajar tercicir dalam pelajaran ketika pandemik ini dengan alasan tidak mempunyai capaian internet yang bagus. 

Senario ini bercanggah dengan matlamat keempat dalam SDG, iaitu pendidikan berkualiti, di mana setiap insan akan diberi hak untuk mendapatkan pendidikan tidak kira dalam apa juga situasi.

Tular pada awal 2020 mengenai seorang gadis yang terpaksa berkampung dan memanjat bukit demi mendapatkan capaian internet yang stabil bagi membolehkannya menjawab peperiksaan peringkat universiti secara dalam talian.

Ini menunjukkan bahawa ada lompong yang besar terhadap ketersediaan Malaysia dalam menyediakan pendidikan yang berkualiti terhadap rakyatnya.

Jika dilihat melalui skop lebih besar, masih banyak kawasan luar bandar yang menghadapi atau mengalami masalah pautan internet yang tidak stabil. 

Kehadiran wabak COVID-19 bukan sahaja membuka mata banyak pihak, malah ia juga merangsang pemikiran pihak yang bertanggungjawab untuk berfikir secara kritikal dan kreatif bagi mengisi lompong yang ada. 

Langkah pantas diambil kerajaan untuk menyelesaikan isu capaian internet dengan meningkatkan infrastruktur jaringan telekomunikasi di kawasan berkenaan. Langkah ini tidak seharusnya hanya terhenti di kawasan terbabit sahaja, malah perlu diperluaskan ke seluruh kawasan pedalaman dan luar bandar di Malaysia.

Ini mengambil kira bahawa di kawasan terbabit juga terdapatnya pelajar yang menderita dengan masalah sama.

Dengan berbuat sedemikian, Malaysia dilihat mengambil langkah proaktif dan akan lebih maju setapak ke hadapan dalam melaksanakan SDG yang keempat, iaitu menyediakan pendidikan berkualiti dengan memastikan semua rakyat mendapat hak untuk memperoleh ilmu.

Ini sekali gus menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang intelektual dan berpendidikan demi kemajuan negara.

Huda Sofea Hazuari,
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

*Sebagai rujukan, artikel ini di ambil melalui laman sesawang bharian.com.my.

Related posts
PandaiProgram

Program Cuti Sekolah 2024: Aktiviti Seisi Keluarga! Pandai Carnival

NewsPandai

SKOR SPM 2023: Latihan dan Soalan Spot & Ramalan

Articles

5 Studying Methods to Enhance Your Learning Journey!

Articles

How to be More Involved in Your Child's Education