Apabila Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dimulakan sejak Mac 2020, persoalan pertama yang timbul adalah bagaimana guru akan mengajar dalam talian sedangkan kebiasaan sebelum ini, ia dibuat secara berdepan.
Ketika itu, semuanya masih samar dan di luar jangkauan pemikiran. Bagaimanapun, selepas masuk fasa ketiga PdPR kita mula menyedari terdapat sebahagian mata pelajaran yang tepat dan sesuai dengan kaedah berkenaan.
Antaranya mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang sinonim dengan tugasan berasaskan projek. RBT sebenarnya mata pelajaran baharu yang diperkenalkan bagi menggantikan Kemahiran Hidup Bersepadu.
Bagaimanapun kurikulumnya berbeza kerana RBT memberi ruang kepada murid bukan hanya mendapatkan pengetahuan tetapi menguasai asas kemahiran praktis, kemahiran mereka bentuk, amalan asas keusahawanan selain kemampuan untuk mengaplikasikan asas teknologi.
Menerusi mata pelajaran ini, murid berpeluang untuk menghasilkan produk berasaskan projek dengan menggunakan kemahiran yang dipelajari dan sentuhan kreatif kendiri.
Berdasarkan Kemahiran Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21), pelajar bukan sahaja menjadi pengguna teknologi yang berpengetahuan tetapi pelajar itu juga disediakan sebagai pencipta produk juga pencetus idea pembaharuan.
Justeru, adakah kaedah pengajaran dalam talian ini akan membataskan keupayaan dan kreativiti pelajar? Jujurnya, dalam hal ini, PdPR tidak akan menjadi penghalang kemampuan murid menguasai RBT jika kedua-dua pihak iaitu guru, murid dan ibu bapa masing-masing menjalankan peranan mereka.
*Sebagai rujukan artikel asal diboleh lihat di laman web berita harian.