GET PANDAI APP NOW

News

Kalendar sekolah kembali bermula Januari pada 2026

Kredit: Muhammad Shamsul Abd Ghani, Sinar Harian, https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/655119

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak tahun 2022 susulan pandemik Covid-19 yang melanda.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, untuk itu KPM sudah memulakan usaha merancang kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

“Kawalan dan perancangan ini dibuat bagi memastikan sesi persekolahan pada tahun 2026 dapat bermula pada bulan Januari sehingga Disember.

“Pada masa yang sama, KPM perlu memastikan bahawa penyediaan kalendar akademik adalah berdasarkan Peraturan-Peraturan Pendidikan (penggal, hari dan cuti sekolah) 1998 (Pindaan) 2021 yang menetapkan bahawa jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik hendaklah tidak kurang daripada 190 hari,” katanya ketika persidangan Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) bertanyakan kepada Menteri Pendidikan sama ada kementerian berhasrat mengembalikan semula kalendar persekolahan sebagaimana terdahulu bermula sesi baru Januari sehingga Disember.

Pada November 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun berkenaan dilanjutkan sehingga Februari 2022, sekali gus menyaksikan sesi persekolahan bagi tahun baharu itu bermula pada Mac.

Dalam pada itu, Kah Woh berkata, seperti penyediaan kalendar akademik tahun-tahun sebelum ini, KPM akan mengadakan sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan.

“Iaitu pihak kesatuan atau persatuan keguruan termasuk Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan (NUTP), Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Kerajaan Sabah untuk mendapatkan maklum balas berhubung penyediaan draf Kalendar Akademik Tahun 2025 dan draf Kalendar Akademik Tahun 2026 sebelum diangkat untuk pewartaan,” katanya.

Jelasnya lagi, KPM juga akan memastikan kalendar akademik yang disediakan memenuhi tempoh pengajaran dan pembelajaran secara optimum iaitu antara 32 hingga 36 minggu bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan.

“Penjajaran kepada jadual peperiksaan awam juga akan dilaksanakan agar selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan,” katanya.

18 MAR 2024


Muat turun aplikasi Pandai sekarang di Google Play atau App Store.
Jangan lupa ikuti Pandai di media sosial juga!
FB: @pandaiofficial
Instagram:@pandaiofficial
Twitter: @pandaiofficial
Tiktok: @pandaiofficial