GET PANDAI APP NOW

Articles

Fahami tekanan perasaan dalam kalangan pelajar

Kebelakangan ini, terdapat banyak laporan mengenai masalah tekanan perasaan dalam kalangan pelajar susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ada yang melihatnya sebagai hal remeh namun sebenarnya masalah tekanan perasaan adalah persoalan serius dan tidak benar untuk mengatakan ia sengaja diada-adakan atau mengada-ada.

Berdasarkan data dan analisis, tekanan perasaan atau tekanan hidup itu wujud dan perlu diberi perhatian. Ramai dalam kalangan individu yang berhadapan dengan masalah sebegini lebih cenderung membunuh diri berbanding berusaha mengatasinya. Keadaan ini menjelaskan mengapa bilangan kes membunuh diri adalah tinggi dalam kalangan remaja.

Hal ini juga dianggap sebagai jalan keluar kerana tekanan perasaan bukanlah perkara ringan yang mampu dilalui oleh seseorang. Ia menguasai minda dan bagi sebilangan individu keadaan itu amat sukar untuk dilalui secara bersendirian.

Bagaimanapun, masalah ini boleh ditangani dengan rawatan pakar. Ia boleh diurus dengan panduan yang betul daripada pakar psikologi selain menerusi terapi yang diberikan secara profesional.

Dalam persoalan PdPR, amat mudah untuk difahami mengapa ia menjadi beban psikologi kepada sesetengah murid. Ia tentunya disebabkan pembelajaran menerusi PdPR adalah perkara baharu. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya belajar sendiri tanpa bantuan guru di depan mereka atau rakan sekelas seperti kebiasaannya. Pergerakan mereka juga terbatas kerana perlu duduk di hadapan komputer dari pagi hingga petang untuk sesi pembelajaran. Keadaan ini memberi tekanan kerana rasa ‘terkurung’ dan tidak bebas bergerak.

Selain itu ada sesetengahnya datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Ketiadaan peranti atau perlu berkongsi dengan adik beradik lain juga sebenarnya mendatangkan cabaran dan tekanan tersendiri.

Mungkin ada segelintir ahli masyarakat yang lebih tua merasakan permasalahan tekanan sebegitu hal biasa dan generasi hari ini kelihatan lebih lemah atau lembik berbanding mereka ketika berada dalam lingkungan usia serupa. Justeru tanggapan sedemikian mencetuskan pelbagai reaksi dan istilah seperti ‘generasi jeli’. Sebenarnya, sebagai rakyat yang bertanggungjawab anggapan yang sebegitu tidak molek untuk dibuat kerana ia memberi kesan kepada mereka.

Namun, dari satu segi pandangan sedemikian menjelaskan bahawasanya masyarakat Malaysia kurang pengetahuan atau kesedaran mengenai permasalahan psikologi sebegini. Jika seseorang itu tahu akan apa yang dihadapi individu yang tertekan dengan masalah hidup, pasti ungkapan seperti generasi jeli ini tidak muncul.

Sebenarnya, masalah tekanan hidup ini sudah ada sejak sekian lamanya dalam masyarakat tetapi ia tidak diendahkan atau kita tidak menyedari mengenai kewujudannya.

Keadaan sedemikian mungkin disebabkan mereka yang berhadapan dengan masalah begini tidak mendapat diagnosis daripada pakar. Selain itu, ilmu mengenai kesihatan mental yang dicanangkan kini dan dulu amat berbeza menyebabkan permasalahan kesihatan mental lebih banyak dikesan ketika ini.

Justeru dalam konteks inilah kita tidak seharusnya mudah menyebut tekanan perasaan terjadi kerana generasi muda masa kini ‘lembik’ atau lemah. Ini kerana kita seharusnya menyedari PdPR itu adalah pembelajaran dalam talian yang belum dilaksanakan secara serius sebelum ini. Justeru memang terdapat potensi untuk seseorang itu berhadapan dengan gangguan mental jika mereka tidak berinteraksi dengan manusia atau rakan dalam tempoh yang lama.

Dalam hal ini, pihak sekolah juga harus berusaha memahami situasi yang dihadapi oleh semua pelajar. Pasti sahaja dalam sejumlah pelajar yang mengikuti PdPR terdapat murid yang tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya untuk mengikuti pembelajaran dalam talian. Selain peranti, masalah seperti capaian internet, ruang belajar yang selesa atau keadaan keluarga yang berantakan turut menyumbang kepada ketidakupayaan mereka mengikuti pembelajaran dalam talian. Faktor itulah kemudiannya berpotensi untuk menjadi penyebab kepada tekanan.

Mungkin, PdPR bukanlah halangan untuk terus belajar bagi sekumpulan murid tetapi bagi kelompok yang lain mereka berpotensi berhadapan masalah tekanan perasaan.

*Sebagai rujukan artikel asal diboleh lihat di laman web berita harian.

Related posts
PandaiProgram

Program Cuti Sekolah 2024: Aktiviti Seisi Keluarga! Pandai Carnival

NewsPandai

SKOR SPM 2023: Latihan dan Soalan Spot & Ramalan

Articles

5 Studying Methods to Enhance Your Learning Journey!

Articles

How to be More Involved in Your Child's Education