Bayangkan jika hari kita produktif selama 14 jam dengan hanya sedikit sahaja masa rehat, banyak kerja dan banyak tekanan. Bagi ramai pelajar, itu bukanlah satu perkara yang tidak biasa. Apakah yang berlaku apabila pelajar terpaksa menghadapi semua itu hari demi hari? Mereka mungkin mengalami burnout atau keletihan emosi di sekolah. Mari kita lihat apa itu burnout, tanda-tanda yang boleh dikenalpasti, dan cara untuk mengatasi keletihan emosi di kalangan pelajar.
Apa itu Burnout?
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, istilah burnout merujuk kepada keadaan di mana seseorang mengalami keletihan emosi, mental dan fizikal disebabkan oleh tekanan yang berterusan dan berulang. Tanda-tanda burnout boleh dikelaskan kepada 3 jenis iaitu kepenatan dalam segala aspek kehidupan, perasaan kesepian dan kehilangan keupayaan untuk mencapai tahap kerja yang biasa. Setiap orang, tidak kira umur, boleh mengalami burnout termasuklah kanak-kanak atau pelajar sekolah.
Pelajar boleh mengalami keletihan emosi apabila mereka terdedah pada tekanan dan tidak mempunyai peluang untuk berehat dan memulihkan tenaga. Walaupun sedikit tekanan diperlukan untuk membantu pelajar menetapkan matlamat dan mencapainya, terlalu banyak tekanan boleh menyebabkan keletihan emosi. Apabila mereka menghadapi bebanan kerja yang terus-menerus dan tahap tekanan yang tinggi, mereka mungkin masih dapat melakukan tugas dengan baik pada awalnya. Tetapi seiring berjalannya waktu, rasa pencapaian mereka mungkin hilang dan mereka mungkin tidak dapat berehat dan pulih sepenuhnya sebelum menghadapi cabaran seterusnya. Ini boleh menyebabkan kesan yang negatif, seperti kebimbangan, penurunan motivasi, prestasi akademik yang lemah, dan kurang minat terhadap aktiviti yang sebelumnya disukai.
Oleh itu, penting untuk mengenalpasti tanda-tanda keletihan emosi pada pelajar dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegahnya. Dengan mencipta keseimbangan yang sihat antara kerja dan rehat, ibu bapa dan penjaga boleh membantu pelajar menguruskan tekanan dengan berkesan dan mengelakkan keletihan emosi.
Apakah punca Burnout di sekolah?
Kadang-kadang, sukar untuk kita memahami cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar dalam kehidupan seharian mereka. Mari kita ambil contoh seorang pelajar darjah empat yang mempunyai masalah disleksia. Pelajar ini bangun pada jam 6:45 pagi dan berangkat ke sekolah pada jam 7:30 pagi untuk mendapatkan bantuan dari guru dalam menyelesaikan masalah membaca sebelum kelas bermula pada jam 8:15 pagi. Pelajar ini mempunyai jadual yang padat dengan kerja akademik di dalam kelas biasa dan juga berjumpa dengan pakar membaca dua kali seminggu. Walau bagaimanapun, guru mungkin lupa tentang penyesuaian untuk pelajar ini dan pelajar ini mungkin perlu membela diri sepanjang hari.
Selepas bersekolah, pelajar ini menghabiskan dua jam di sesi kokurikulum dan kelas tambahan. Pelajar ini mungkin tiada masalah dalam kedua-dua aktiviti itu. Namun, apabila pulang ke rumah pada pukul 6 petang, pelajar ini masih mempunyai dua hingga tiga jam kerja rumah untuk diselesaikan. Pelajar ini mungkin tidak dapat berehat dan santai sehingga pukul 8 atau 9 malam.
Apabila tiba hujung minggu, pelajar ini sudah letih dan emosi terserlah. Pelajar ini mungkin menangis dan mengeluh kerana terlalu penat. Kemudian, pada hari Isnin, pelajar mula semula jadual yang sama, dengan tekanan dan kekecewaan. Pelajar mungkin boleh terus menahan tekanan itu untuk sementara waktu, tetapi akhirnya tanda-tanda kelesuan akan muncul. Pelajar mungkin mengalami kesukaran untuk menumpukan perhatian kepada pelajarannya dan minat terhadap aktiviti kokurikulum seperti latihan band mungkin berkurangan. Oleh itu, penting untuk membantu mereka mengembangkan kemahiran pengurusan masa yang efektif dan mengambil masa rehat yang mencukupi untuk mengelakkan kelesuan akademik. Dengan cara ini, kita dapat membantu pelajar menguruskan tahap tekanan mereka dan menjalani kehidupan akademik dan peribadi yang lebih sihat dan seimbang.
Faktor Burnout di kalangan pelajar
Sesiapa pun boleh merasa burnout. Atlet boleh burnout dalam sukan. Pekerja boleh burnout di tempat kerja. Tetapi kanak-kanak yang belajar dan berfikir secara berbeza mungkin lebih mudah terdedah kepada burnout di sekolah atas beberapa sebab:
Faktor akademik
- Pelajar mengambil masa yang lebih laman dan usah yang lebih tinggi daripada rakan sekelas untuk mencapai hasil yang sama.
- Pelajar mendapat latihan tambahan di samping jadual mereka yang sudah sedia ada penuh.
- Pelajar mempunyai masalah dalam menumpukan perhatian dalam sesi pembelajaran.
Faktor emosi
- Pelajar tidak dapat mengawal atau menyeimbangkan perbezaan pembelajaran dan pemikiran mereka. Oleh itu, mereka mungkin berasa tertindas dan dipulaukan selain merasa tertekan.
- Keyakinan diri pelajar mungkin terjejas kerana perbezaan mereka. Ini boleh membuatkan mereka berasa kurang semangat dan membuatkan tugasan terasa lebih sukar dan mengambil masa lebih lama.
- Pelajar berasa gagal dan lebih bimbang tentang prestasi mereka, yang juga menambahkan kepada tekanan mereka.
Faktor sosial
- Pelajar berasa tertekan untuk tidak mengecewakan orang dewasa dalam hidup mereka seperti ibu bapa dan guru.
- Keluarga dari latarbelakang profesional mungkin mempunyai jadual aktiviti harian yang terlalu mampat dan boleh menyebabkan tekanan kepada pelajar.
- Pelajar yang belajar dan berfikir secara berbeza mungkin mempunyai kawan-kawan yang tidak dapat berkaitan dengan apa yang mereka alami. Ini boleh membuatkan mereka berasa kesepian atau terasing.
Cara mengelak burnout di sekolah
Membantu pelajar membina kemahiran pengurusan masa dan mengambil rehat yang efektif adalah dua cara penting untuk mengelakkan keletihan emosi di sekolah. Selain itu, kita juga boleh berbincang dengan guru atau tutor pelaja berdasarkan pemerhatian terhadap tingkah laku pelajar. Guru memainkan peranan dalam hal ini kerana mereka mungkin mempunyai idea atau pendapat yang boleh mengurangkan risiko burnout terhadap pelajar. Jika keletihan pelajar berlaku disebabkan oleh masalah kebimbangan atau kemurungan, bincang dengan pakar kesihatan mental atau penyedia penjagaan kesihatan untuk informasi lebih lanjut tentang keadaan pelajar tersebut.
Log in or Sign Up at www.pandai.org
Download Pandai App now via Google Play or App Store.
Follow us on our Social Media Now for more updates!
Facebook: @pandaiofficial
Instagram:@pandaiofficial
Twitter: @pandaiofficial
TikTok: @pandaiofficial
Blog: blog.pandai.org
#AchieveTogether